Polis KL sedia pecat anggota terbabit jenayah

124

18 DIS: Polis Kuala Lumpur memberi amaran keras termasuk bersedia untuk menamatkan perkhidmatan anggota atau pegawainya yang didapati melakukan kesalahan tatatertib dan salah laku jenayah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin, berkata pihaknya sedang meneliti beberapa kesalahan yang dilakukan kesemua yang terbabit dan tindakan lanjut akan diambil dalam masa terdekat.

Menurut beliau, kertas siasatan akan dibuka untuk setiap salah laku yang dilakukan pegawai dan anggota sebelum dihantar ke Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard ( JIPS) untuk tindakan selanjutnya.

“Kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana anggota serta pegawai yang melakukan kesalahan termasuklah tindakan pembuangan kerja.

“Setiap kesalahan yang dilakukan, kita akan buka kertas siasatan dan JIPS meneliti seterusnya memikirkan kaedah hukuman yang akan dilakukan… jika perlu buang, kita akan buang,” katanya dalam sidang akhbar, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Polis Johor yang mendedahkan, seramai 46 anggota polis di negeri itu ditamatkan perkhidmatan selepas terbabit dalam pelbagai jenayah dan salah laku sepanjang tahun ini.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata JIPS Johor turut membuka sebanyak 230 kertas siasatan tatatertib membabitkan 32 pegawai kanan, 246 pegawai rendah dengan dua pegawai awam serta 154 kes salah lalu dan 45 berkaitan dadah.

Mengulas lanjut, Saiful Azly menjelaskan setiap hukuman akan ditentukan berdasarkan tahap kesalahan yang dilakukan.

“Hukuman dilaksanakan akan berdasarkan tahap tinggi dan rendah kesalahan yang dilakukan, sebagai contoh, enam anggota polis ditangkap baru-baru ini turut dicadangkan untuk terus dibuang kerja.

“Hari ini kita tidak lagi akan berkompromi terhadap mereka yang terbabit dan tindakan yang agresif akan dilakukan kepada mana-mana polis yang melanggar peruntukan undang-undang,” katanya.

Ditanya adakah ramai pegawai dan anggota polis yang dikenakan tindakan tatatertib tahun ini, Saiful Azly menjelaskan, pihaknya akan mengumumkan perkara itu kepada umum pada tahun hadapan.

“Saya tidak mahu komen lagi jumlah itu sebaliknya akan melakukan sidang akhbar pada Januari ini untuk mengumumkan jumlah polis yang terbabit dalam tempoh setahun.

“Tindakan yang diambil ini juga adalah sebahagian daripada hasrat Ketua Polis Negara yang mahukan mereka yang memalukan dan mengaibkan pasukan polis diambil tindakan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.