PKPB Sabah sambung hingga 31 Dis, kes harian tinggi

148

18 DIS: Kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah mulai 21 hingga 31 Disember ini berikutan jumlah kes harian yang masih tinggi.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat semalam, sebanyak 33,823 kes positif COVID-19 telah direkodkan di seluruh negeri itu.

“Dalam tempoh 14 hari iaitu 2 hingga 15 Disember lalu, Kementerian Kesihatan mengesahkan jumlah kes harian COVID-19 di seluruh negeri ini masih lagi tinggi dan kebanyakan kluster adalah daripada kluster kediaman yang membabitkan warganegara.

“Kementerian Kesihatan turut menjangkakan kes positif COVID-19 akan terus meningkat berikutan saringan pekerja bukan warganegara yang baru bermula pada 16 Disember lalu,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Bagi Pulau Pinang, beliau mengumumkan pelanjutan PKPB di Mukim 12 (Barat Daya) dan Mukim 13 (Timur Laut) serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Persiaran Paya Terubong (Relau) dan Flat Desa Bistari Blok A & B, Batu Uban 31 Disember.

Di Kedah, PKPB di Kulim dan taman-taman perumahan dalam Mukim Sungai Seluang ditamatkan pada 20 Disember.

Selain itu, di Perak, PKPB di Ipoh, Chemor dan Changkat Jong ditamatkan pada 20 Disember seperti yang dijadualkan manakala PKPD Asrama Pekerja Kilang Yamaha turut berakhir pada tarikh sama.

Walau bagaimanapun, PKPD Depot Tahanan Imigresen Langkap dan Kuarters Kakitangan dilanjutkan hingga 31 Disember.

Di Kelantan, PKPB di Mukim Kubang Kerian dan Mukim Kusial serta PKPD di Madrasah Ad-Diniah Al-Falahiah, Kampung Dalam Huma, Bukit Awang, Pasir Puteh ditamatkan pada 20 Disember.

Bagi Selangor pula, PKPB dilanjutkan di seluruh negeri mulai 21 hingga 31 Disember kecuali Sabak Bernam, Hulu Selangor dan dan Kuala Selangor.

Turut dilanjutkan PKPB hingga 31 Disember adalah Kuala Lumpur, Seremban dan Port Dickson di Negeri Sembilan serta Johor Bahru, Batu Pahat dan Kulai di Johor.

PKPB di Kota Tinggi tamat pada 20 Disember seperti yang dijadualkan.

Sementara itu, PKPD di Penjara Seremban dan kuartersnya dilanjutkan sehingga 31 Disember manakala Penjara Kluang dan kuartersnya dikenakan PKPD bermula esok hingga 31 Disember. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.