Perkhidmatan helikopter Nuri ditamatkan

156

18 DIS: Perkhidmatan semua helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan ditamatkan, demikian menurut Panglima TUDM, Jeneram Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata, antara faktor TUDM terpaksa menamatkan perkhidmatan helikopter Nuri yang sudah berkhidmat melebihi 52 tahun kerana kebanyakan komponen dan alat gantinya sudah tidak lagi dikeluarkan.

Berikutan itu, kerajaan telah memutuskan untuk menamatkan penggunaan Nuri kerana kos penyelenggaraan helikopter itu semakin tinggi.

“Faktor usia dan cabaran daripada aspek selenggaraan secara langsung telah mengakibatkan kos pesawat semakin tinggi dan ‘downtime’ pesawat semakin panjang, apabila berlaku kerosakan.

“Bagi penggantian perkhidmatan Nuri, kerajaan sudah mengeluarkan tender terbuka tempatan untuk penyewaan helikopter sejak 15 Oktober lepas dan ditutup semalam (17 Disember).

“Proses selanjutnya adalah untuk menilai tender, sebelum diputuskan syarikat tempatan mana yang akan dianugerahkan tender berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan TUDM Tahun 2020 di Pangkalan Udara Subang, Selangor.

Dalam pada itu, Ackbal mengesahkan TUDM akan memperoleh pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircarft (FLIT/LCA), dalam tempoh tiga tahun ini.

Beliau berkata, perolehan baharu itu seiring dengan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55), pihaknya merancang untuk memperoleh sebanyak 36 pesawat (FLIT/LCA) secara berfasa, namun ia bergantung kepada kelulusan pihak kerajaan.

“Untuk keperluan TUDM dalam perolehan FLIT/LCA, pesawat platform tunggal dwi-fungsi ini perlu memiliki keupayaan yang seimbang, dalam melaksanakan peranan untuk latihan juruterbang pesawat pejuang dan pelbagai misi operasi.

“TUDM telah memohon peruntukan dari kerajaan untuk perolehan Fasa 1 sebanyak 18 pesawat, melalui pendaftaran projek baharu 2021 dan permohonan untuk perolehan Fasa 2 bagi 18 pesawat lagi akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13),” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.