Pemuda DAP kecam Anwar, PKR Sabah balas serangan

1,035

18 DIS: Perang dingin mula tercetus antara PKR dan DAP di Sabah berikutan kegagalan Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim mensabotaj Belanjawan 2021 daripada diluluskan di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Pertelagahan bermula apabila Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Sabah, Phoong Jin Zhe mendesak supaya Anwar berundur daripada jawatan Pengerusi PH dan Ketua Pembangkang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang itu menegaskan, kegagalan Anwar menubuhkan kerajaan yang baharu telah menjejaskan kredibiliti PH.

phoong jin zhe
PHOONG JIN ZHE

Jin Zhe turut menyindir Anwar kerana gagal memperoleh majoriti yang kukuh dan meyakinkan daripada Ahli-ahli Parlimen.

“Janji bahawa beliau mempunyai majoriti kuat dan menyakinkan tidak menjadi,” katanya.

Serangan pemimpin DAP itu dibalas pula oleh Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin yang menyifatkan percubaan menggantikan Anwar sebagai ‘tindakan yang tidak ramah’.

RAZEEF RAKIMIN
RAZEEF RAKIMIN

“Perselisihan adalah wajar, tetapi mereka harus muncul dengan niat baik berbanding melayani agenda tersembunyi atau oportunisme.

“Pembicaraan tentang ‘politik baru’ dan ‘reset’, seperti mengubah pemimpin atau prinsip seseorang hanya berlaku kerana kejadian baru-baru ini,” jelasnya.

Mesyuarat Majlis Presiden PH yang sepatutnya diadakan di bangunan Parlimen petang semalam telah dibatalkan pada saat-saat akhir.

Pada hari yang sama, Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan bersama berhubung situasi semasa dalam PH.

Kenyataan tersebut secara tidak langsung mempersoalkan strategi yang digunakan oleh Anwar untuk menolak Belanjawan 2021 serta menaikkan dirinya sebagai Perdana Menteri yang baharu. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.