Pemimpin politik ucap takziah kepada keluarga Najib

289

18 DIS: Pemimpin politik sama ada di pihak kerajaan mahu pun pembangkang hari ini merakamkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas permergian ibunya Tun Rahah Mohamad Noah, hari ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau dan keluarga besar UMNO ingin merakamkan jutaan takziah kepada Najib  atas pemergian bonda yang dikasihi Allahyarhamah Tun Rahah, petang tadi.

“Semoga Allah menempatkan Allahyarhamah bersama para kekasihNya dan diberi sebaik-baik balasan dengan limpahan keredhaan.

“Semoga keluarga mantan Perdana Menteri kita diberi kekuatan oleh Allah menempuh ujian kehilangan insan yang tersayang. Al-Fatihah!” kata Ahmad Zahid dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebooknya di sini, sebentar tadi.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga mengucapkan takziah kepada Najib dan keluarga atas pemergian bondanya itu petang tadi.

“Menerima berita duka Tun Rahah Mohamed Noah, isteri kepada mantan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein kembali ke rahmatullah hari ini.

“Takziah saya ucapkan kepada keluarga Datuk Seri Najib Razak.  Semoga Allah SWT mengurniakan rahmat kepada almarhum dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.

“Sesungguhnya daripada Allah kita datang dan kepada-Nya jua kita akan kembali. Al-Fatihah,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya di sini sebentar tadi.

Sementara itu, Presiden PKR merangkap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pula melahirkan rasa sayu dan sedih selepas menerima berita kematian isteri kepada bekas Perdana Menteri Kedua berkenaan.

“Baru terima berita sayu isteri kepada mantan Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussien yakni Tun Rahah Mohamed Noah telah pergi dijemput ilahi. Takziah kepada Najib Razak sekeluarga.

“Saya turut bersedih dan mendoakan agar roh allahyarhamah dicucuri rahmat,” katanya dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebooknya sebentar tadi.

Sementara itu, Najib menerusi hantaran terbaru di facebook memaklumkan jenazah akan dibawa pulang ke kediaman Allahyarhamah Tun Rahah di Jalan Eaton dan akan dibawa ke Masjid Ar-Rahah pada hari esok untuk pengurusan jenazah sebelum dikebumikan di Masjid Negara – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.