Kena kompaun kalau pakai pelitup muka sahaja

92

18 DIS: Kompaun boleh dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati hanya memakai pelindung muka sahaja tanpa pelitup muka di kawasan sesak.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, perkara itu jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19.

“Setakat ini Kementerian Kesihatan belum membenarkan pelindung muka menggantikan pelitup muka kecuali kepada pelajar sekolah.

“Pemakaian pelitup muka masih diwajibkan, jadi bagi yang memakai pelindung muka, masih perlu memakai pelitup muka di dalamnya dan pihak berkuasa boleh mengambil tindakan terhadap individu yang melanggar SOP ditetapkan,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 170 individu semalam atas kesalahan ingkar SOP dan kesemuanya telah dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar SOP termasuk gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (96), tidak memakai pelitup muka (50), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (17), aktiviti pusat hiburan (6) dan lain-lain (1),” jelasnya,

Beliau menambah, dalam Op Benteng semalam, pasukan keselamatan berjaya menahan seramai 34 pendatang asing tanpa izin di seluruh negara.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, berhubung SOP Krismas, kerajaan bersetuju untuk membenarkan penganut Kristian mengikuti sesi upacara sembahyang pada 24 Disember dan 25 Disember ini di kawasan-kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan PKP Bersyarat (PKPB) dengan SOP ketat yang telah ditetapkan.

“Sambutan Hari Krismas seperti kunjung mengunjung hanya dibenarkan pada 25 Disember sahaja.

“Walau bagaimanapun, rumah terbuka dan aktiviti carolling dari rumah ke rumah di kawasan PKPP, PKPB dan PKP Diperketatkan (PKPD) adalah tidak dibenarkan,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.