Isu 6 kapal LCS: Zahid sedia jadi saksi PAC

169

18 DIS: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedia menjadi saksi apabila dipanggil oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung kegagalan pembekalan enam kapal peronda generasi kedua kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion.

Bekas Menteri Pertahanan itu berkata, beliau akan beri sepenuh kerjasama kepada PAC mengenai apa-apa maklumat berkaitan perkara itu.

Ahmad Zahid Hamidi

Beliau yang juga Presiden UMNO menegaskan, mana-mana pihak yang menyebabkan kelewatan pembinaannya haruslah bertanggungjawab memberikan penjelasan kepada PAC.

“Saya sepenuh hati menyokong pendedahan PAC, dan semoga ketelusan siasatannya diketahui umum.,” katanya dalam kenyatann, hari ini.

Ahmad Zahid turut menjelaskan bahawa LCS dibina oleh anak syarikat Boustead Holdings Bhd, iaitu Boustead Naval Shipyard (BNS) yang mana pemegang saham terbesarnya adalah LTAT menerusi Boustead Holdings Berhad.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh semalam berkata, selain bekas Menteri Pertahanan itu, turut dipanggil ialah bekas Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan kontraktor utama projek LCS, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

“PAC juga akan menjalankan lawatan tapak pembinaan kapal LCS di Lumut, Perak pada Januari 2021.

“PAC berhasrat untuk melengkapkan dan membentangkan laporan berhubung isu pembekalan enam kapal generasi kedua LCS ini ke Dewan Rakyat dalam sidang Parlimen pada Mac 2021,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.