49 saranan ERC diterima kerajaan

49

18 DIS :  Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), Abdul Rashid Abdul Rahman berkata,  kerajaan menerima semua 49 saranan penambahbaikan yang menyentuh perihal sistem, proses dan undang-undang berkaitan pilihan raya yang dikemukakan ERC.

Saranan yang diberikan oleh ERC Ogos lalu,  menurut Rashid akan dilaksanakan mengikut keutamaan dan kesesuaian dalam masa terdekat.

“Kerajaan pun dah nampak stabil dan saya diberitahu kerajaan  pun sudah melantik Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali sebagai pengerusi jawatankuasa Kabinet mengenai pilihan raya untuk mengkaji secara mendalam.

“Saya dimaklumkan pihak kerajaan akan  mengkaji secara lebih  mendalam apa yang boleh dilaksanakan segera,” katanya.

Rashid berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas program memperkasakan pendidikan sivik dan pengundi.

Menurutnya lagi, daripada 49 saranan yang dikemukakan, 32 perlu dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun oleh jawatankuasa khas dipengerusikan Azmin.

“Antara penambahbaikan yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mana tidak wujud dalam peraturan sekarang, termasuklah peraturan yang perlu dipatuhi kerajaan sementara ketika menunggu proses pilihan raya.

“Kerajaan sementara yang mengambil alih untuk 60 hari perlu ada peraturan khas sebab dia bukan lagi kerajaan biasa.

“Kerajaan sementara tidak boleh ikut undang-undang kerajaan biasa dan adalah lebih baik kalau kita wujudkan peraturan yang sesuai untuk itu,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat minggu lalu berkata, sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi meneliti kajian menyeluruh ERC selama dua tahun ke atas keberkesanan sistem dan undang-undang pilihan raya.

Katanya, hasil penelitian itu kemudian akan didedahkan kepada umum.

ERC ditubuhkan pada Ogos 2018 menggariskan 15 agenda reformasi dalam kajian berhubung penambahbaikkan sistem dan undang-undang pilihan raya, termasuk mengenai proses dan mekanisme bagi pemilih berdaftar Malaysia yang tinggal di luar negara.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.