10 RUU lulus bukti majoriti Ahli Parlimen tolak PH

101

18 DIS: Kelulusan 10 rang undang-undang (RUU) dalam sidang Dewan Rakyat membuktikan kerjasama dalam parti-parti yang mendukung Perikatan Nasional (PN) telah berjaya menolak usaha Pakatan Harapan (PH) untuk berkuasa semula.

Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa berkata, situasi itu jelas menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional mempunyai sokongan majoriti.

“10 rang undang-undang yang melalui proses berpuluh kali undian, termasuk undi belah bahagian semuanya memberi kemenangan kepada kerajaan PN.

“Jelas majoriti tidak bermakna ia rapuh sebaliknya PN solid mendukung muafakat dan menolak kemunculan semula PH pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim-DAP,” katanya menerusi ciapan Twitter miliknya, hari ini.

ANNUAR MUSA
ANNUAR MUSA

Baru-baru ini, sidang Dewan Rakyat menyaksikan Belanjawan 2021 diluluskan melalui undi belah bahagi yang menyaksikan 111 Ahli Parlimen bersetuju, 108 tidak bersetuju dan seorang tidak hadir.

Sebelum itu, ketika di peringkat dasar lagi terdapat cubaan bagi menggagalkan namun diluluskan dengan suara majoriti, selepas permohonan beberapa Ahli Parlimen pembangkang untuk undi belah bahagian tidak berjaya apabila hanya 13 Ahli Parlimen yang bangun, kurang daripada jumlah diperlukan iaitu 15 orang.

Di peringkat jawatankuasa pula, peruntukan untuk sembilan daripada 27 kementerian melalui proses undi belah bahagian sebelum diluluskan.

Sembilan rang undang-undang lain turut dilulukan iaitu Kewangan 2020; Kastam (Pindaan) 2020; Eksais (Pindaan) 2020; Zon Bebas (Pindaan) 2020; Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 2020; Cukai Jualan (Pindaan) 2020; Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2020; Cukai Pelancongan (PIndaan) 2020 dan Koperasi (Pindaan) 2020. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.