Struktur binaan SUKE jatuh, kontraktor didenda RM180,000

99

17 DIS: Kontraktor utama dan subkontraktor projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) didenda RM180,000 kerana gagal memastikan keselamatan di tapak binaan.

Ini susulan kejadian konkrit struktur pembinaan lebuh raya itu jatuh dan menimpa sebuah kenderaan pada 19 September lalu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata daripada jumlah itu, kontraktor utama, MRCB Builders Sdn. Bhd dikenakan penalti sebanyak RM80,000 manakala subkontraktor, Makna Setia Sdn Bhd berjumlah RM100,000.

FADILLAH YUSOF

Menurut beliau, kedua-dua kontraktor itu masing-masing didenda mengikut Seksyen 34B(1)(c) dan Seksyen 34C(1) Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) 1994 (Akta 520), iaitu kewajipan kontraktor dalam memastikan keselamatan bangunan dan kerja pembinaan sama ada semasa atau selepas pembinaan.

“Hasil siasatan CIDB mendapati sub kontraktor juga gagal mematuhi SOP kerja yang betul yang telah diperakui oleh perunding projek serta tidak menggajikan penyelia tapak yang degriditasi melalui keputusan prosiding tatatertib kontraktor tersebut. Subkontraktor juga telah diarahkan membuah penambah baikan dalam prosedur keselamatan

“Iaitu melaksanakan audit keselamatan melalui pihak ketiga menerusi Safety Health and Assessment System in Construction (SHASSIC) yang akan dilantik pada projek tersebut agar keselamatan orang awam, keseluruhan jajaran projek, amalan cara kerja dan pengendalian serta pengurusan tapak bina adalah terjamin sepanjang projek dilaksanakan.

“Para pekerja penyelia tapak dan pengurus telah diarahkan proses equiditasi oleh CIDB. Sepanjang tempoh siasatan dan prosiding dijalankan CIDB, kedua-dua syarikat memberi komitment dan kerjasama dengan baik di samping mereka juga membuat aku janji untuk meningkatkan keberkesanan amalan prosedur persekitaran kerja yang lebih selamat dan kondusif,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negara, hari ini.

Fadillah menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Senator Md Nasir Hashim tentang itndakan terhadap kontraktor utama berhubung dengan insiden sekeping parapet jatuh ke atas sebuah kereta yg lalu di bawah projek pembinaan Sungai Besi-Ulu Kelang Elevated Expressway (SUKE) pada 19 September lalu.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan tambahan Md Nasir tentang prosedur operasi standard (SOP) bagi kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja pembinaan di kawasan yang sibuk dilalui oleh kenderaan seperti di area kawasan projek SUKE, Fadillah memberitahu sop telah pun disediakan di samping menjalankan proses audit keselamatan yang mampu menjamin keselamatan orang ramai.

“Kita ada SOP tertentu maknanya waktu puncak tidak dibenarkan menjalankan kegiatan pembinaan. Jika terpaksa dijalankan, maka sistem pengurusan trafik perlu dipatuhi di mana sebahagian jalan kena tutup supaya tiada laluan di bawah kawadan dan tapak pembinaan itu.

“Lima peringkat iaitu perancangan, kedua melaksanakan reka bentuk amalan, ketiga reka bentuk terperinci, keempat waktu pembinaan dan kelima waktu operasi. Itu, akan dijalankan.

“Mana-mana kawasan pembinaan ada tiga agensi utama yang mengawal selia CIDB, mengawal selia kontraktor untuk aspek keselamatan di bawah pihak berkuasa tempatan dan aspek keselamatan kerja di bawah abatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) yang dikendalikan oleh Kementerian Sumber Manusia,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.