Serah bukti China tindas Uighur ke ICC tahun depan

130

17 DIS: Sekumpulan peguam sedang mengumpul bukti baharu bagi mendakwa China di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana menindas etnik Uighur sebelum diserahkan kepada pendakwa raya awal tahun depan.

Memetik laporan AFP, peguam Rodney Dixon berkata, maklumat sedang dikumpul oleh pasukan perundangan di negara anggota ICC di luar China.

“Jika seseorang ditahan di Tajikistan secara salah oleh pihak berkuasa China dan dipaksa kembali ke negara itu dan dimasukkan ke kem tahanan dan kemudian ditindas, maka tindakan pertama, tangkapan itu berlaku dalam negara anggota ICC,” jelasnya dalam sidang media secara maya pada persidangan tahunan anggota ICC.

Beliau memberitahu, tindakan itu memberi kuasa kepada ICC ke atas semua tindakan susulan China.

Dixon menambah, bukti yang dikumpulkan pasukannya itu adalah untuk menunjukkan bahawa jenayah berlaku dalam negara anggota ICC.

Awal minggu ini, pejabat ketua pendakwa raya ICC menolak permohonan beberapa etnik Uighur yang hidup dalam buangan yang mahu China disiasat atas dakwaan genosid dan jenayah kemanusiaan.

Dalam laporan tahunannya Isnin lalu, pendakwa raya, Fatou Bensouda menyatakan, pihaknya tidak dapat bertindak kerana perbuatan yang didakwa berlaku itu, dilakukan dalam wilayah China yang tidak menandatangani Statut Rom.

Laporan Bensouda menjelaskan, tiada asas untuk pertuduhan dimulakan buat masa ini terhadap dakwaan berasingan mengenai Uighur dipaksa kembali ke China dari Tajikistan dan Kemboja.

China menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas dan menegaskan fasiliti di Xinjiang adalah pusat latihan pekerjaan bertujuan memastikan rakyat wilayah itu tidak terbabit dalam aktiviti keganasan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.