Rakyat Malaysia tak perlu bayar cukai pelancongan

186

17 DIS: Kementerian Kewangan memberi jaminan rakyat Malaysia dan pelancong yang bermastautin tetap di negara ini masih akan dikecualikan sepenuhnya daripada Cukai Pelancongan.

Sebaliknya, Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Pelancongan (Pindaan) 2020 bertujuan bagi memberi layanan saksama yang sebelum ini di bawah Akta Cukai Pelancongan 2017, cukai berkenaan akan hanya dikenakan kepada pelancong asing pada kadar rata RM10 seorang sebilik.

“Jadi, kita berhasrat untuk memastikan pelancong-pelancong asing juga dikenakan cukai yang dikutip oleh pemberi perkhidmatan platform digital. Cukai itu bukan kita ambil duit dari syarikat, kita kenakan cukai dan syarikat akan meremitkan kutipan itu kepada Kementerian Kewangan menerusi Jabatan Kastam Diraja Malaysia

MOHD SHAHAR ABDULLAH
MOHD SHAHAR ABDULLAH

“RM10 satu malam hanya dikenakan kepada pelancong tetapi di bawah pengecualian ini hanya tertakluk kepada pelancong asing.

“Sekali lagi memberi jaminan cukai pelancongan hanya dikenakan kepada pelancong asing dan tiada kena mengena dengan pelacong tempatan dan mereka yang bermastautin tetap di negara kita,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU Cukai Pelancongan (Pindaan) 2020 peringkat dasar dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen PH Jelutong, RSN Rayer dalam perbahasannya membangkitkan kebimbangan jika RUU tersebut jika dipinda akan dikenakan terhadap pelancong tempatan disebabkan kurangnya pelancong asing akibat wabak pandemik COVID-19.

Dewan Rakyat meluluskan RUU Cukai Pelancongan (Pindaan) 2020 setelah undian suara mendapati lebih ramai Ahli Parlimen yang bersetuju.

Dalam pada itu, bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen PH Kota Melaka tentang adakah pengenalan Cukai Pelancongan yang dikuatkuasa pada 2017 memberi kesan positif kepada negara, Mohd Shahar memberitahu sejumlah RM39.9 juta pada tahun itu telah berjaya dikutip manakala RM216.6 juta pada tahun 2018 dan RM26.7 juta kutipan hasil daripada cukai tersebut.

Menurut beliau, pindaan akta itu juga bagi menyamaratakan kepada semua pemberi perkhidmatan platform digital di samping 50 peratus kutipan tersebut akan disalurkan kepada setiap kerajaan negeri namun prestasi penggunaan kewangan itu perlu mencapai 70 peratus.

“Tujuan kita salurkan duit dari Persekutuan supaya kerajaan negeri menggunakan duit yang disalurkan menerusi akaun amanah kepada tiga perkara iaitu penyelenggaran tempat-tempat tarikan pelancongan bagi menaik taraf kawasan-kawasan tarikan. Kedua, promosi penting kerana inilah usaha kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

“Ketiga duit ini boleh digunakan untuk membuat pengumpulan data bagi menambah baik sistem yang ada. Setakat hari ini bagi kutipan 2019 untuk tahun 2020 kita telah salurkan RM67 juta kepada kerajaan-kerajaan negeri tetapi ada dapat maklumat dari kerajaan negeri menghadapi masalah bagaimana untuk menaik taraf tarikan pelancongan, bagaimana nak buat promosi dan pengumpulan data.

“Untuk makluman, Kementerian Kewangan juga buat keputusan jika kerajaan negeri tidak dapat membelanjakan 70 peratus dari jumlah duit disalur, boleh hantar surat kepada Kementerian Kewangan boleh merayu supaya prestasi 70 peratus itu tidak diambil kira pada masa hadapan,” katanya.

Terdahulu, Abd Rahim ketika membentangkan RUU tersebut memberitahu, ia merupakan pindaan susulan kepada pindaan yang telah dilaksanakan ke atas Akta Cukai Pelancongan 2017 (Akta 791) bagi memperluaskan skop kenaan cukai pelancongan ke atas premis penginapan yang ditempah melalui pemberi perkhidmatan platform digital bagi menyamaratakan layanan cukai pelancongan sedia ada yang mempunyai 21 fasal. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.