Pusat reintegrasi banduan tak ancam masyarakat

409

17 DIS: Kerajaan memberi jaminan Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) yang menempatkan orang yang diselia (ODS) tidak akan memberi ancaman keselamatan dan masalah sosial kerana dikawal sepenuhnya dengan ketat oleh Jabatan Penjara Malaysia.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin berkata, penghuni yang terpilih bagi program di PRP akan melalui proses dan syarat yang ketat bagi memastikan mereka yang dipilih tidak menimbulkan permasalahan khususnya kepada orang awam.

Menurut beliau, ODS juga terbukti berjaya apabila hanya mencatatkan 0.04 peratus kadar kemasukan semula banduan yang mengikuti program tersebut berbanding 10 peratus ke 12 peratus merupakan banduan yang tidak pernah melalui program itu pada 2011.

JONATHAN YASIN
JONATHAN YASIN

“Mereka perlu melepasi syarat-syarat ketat antaranya kategori kes, baki hukuman, berjaya menjalani program pemulihan mengikut fasa yang ditetapkan dan mencapai perubahan tingkah laku yang baik. Mereka perlu melepasi penilaian psikologi yang diperakui oleh pegawai psikologi dan pegawai perubatan.

“Tatacara yang ketat juga dan PRP yang turut dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan serta dikelola secara 24 jam oleh Jabatan Penjara Malaysia.

“Ini membuktikan kerjasama penglibatan masyarakat amat penting membantu kerajaan memulihkan pesalah. Jadi program pengintegrasian semula banduan ke dalam masyarakat dan program PRP telah dibuktikan melalui impak yang tinggi terhadap pemulihan masalah,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negara, hari ini.

Jonathan menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Senator Ismail Ibrahim tentang jumlah orang yang diparol (ODP) dan ODS (Orang Diselia) sehingga November 2020 serta berapa lokasi Jabatan Penjara Malaysia menjadikan bekas Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai asrama bagi ODP dan ODS di seluruh negara serta implikasi sosial kepada masyarakat setempat.

Dalam perkembangan berkaitan, Jonathan memberitahu berdasarkan statistik sehingga 1 Disember, seramai 1131 ODP dan 1215 ODS dicatatkan manakala jumlah kedua-dua program itu yang telah menjalani program pelepasan secara perintah parol dan PRP melebihi 50,000 dengan kadar residivis hanya 0.44 peratus.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan mengenai pendekatan yang diambil di Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap kebimbangan orang awam, beliau berkata, setakat enam tempat yang dicadangkan penubuhan PRP, hanya satu sahaja mendapat tentangan orang awam namun telah diselesaikan secara bersama.

“Memanglah salah satu tugas utama memberi penerangan terperinci kepada program ini agar mereka mendapat gambaran penuh bagaimana program ini dapat dijalankan dan bagaimana keselamatan itu dapat dijamin kerajaan. Oleh itu, beberapa faktor penting telah diambil kira untuk pelaksanaan program-program ini.

“Bahkan mereka yang dipilih menerusi program ini akan ditapis secara ketat oleh pihak kerajaan kerana perlu melepasi banyak syarat-syarat bagi mereka untuk diperlayakkan masuk ke dalam program ini. Semua perkara-perkara ini telah diambil kira kerajaan supaya mereka terlibat dalam program ini tidak mempunyai kesan negatif setelah mengikuti program ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.