Persoal strategi Anwar punca mesyuarat PH batal?

872

17 DIS: Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang sepatutnya diadakan di bangunan Parlimen petang ini dibatalkan tanpa diketahui apa sebabnya.

Setakat ini, belum ada tarikh baharu ditetapkan bagi mesyuarat pertama Majlis Presiden PH selepas kegagalan mereka mensabotaj Belanjawan 2021 yang bertujuan membela kebajikan rakyat.

Tidak dapat dipastikan sama ada pembatalan pada saat-saat akhir itu ada kaitan dengan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pagi tadi.

Kenyataan tersebut secara tidak langsung mempersoalkan strategi yang digunakan oleh Ketua Pembangkang merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menolak Belanjawan 2021 serta menaikkan dirinya sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Mohamad dan Guan Eng juga seolah-olah mempertikaikan dakwaan Anwar sebelum ini kononnya beliau mempunyai sokongan yang kukuh lagi meyakinkan.

Mereka berpandangan, PH dan sekutunya dalam kerangka PH Plus terpaksa berpuas hati dengan sokongan 108 Ahli Parlimen daripada blok pembangkang ketika ini.

Sehubungan itu, Mohamad dan Guan Eng menggesa agar PH menumpukan kerjasama dalam kalangan sekutu sahaja dan menghentikan usaha mencuri sokongan pihak lain.

Difahamkan, kenyataan tersebut telah menyebabkan puak tertentu dalam PH berasa kurang senang dan mungkin menjadi salah satu punca mesyuarat Majlis Presiden PH dibatalkan. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.