Agong, Sultan Perak dan Muhyiddin Ziarah Bonda Najib

373

17 DIS :  Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mencemar duli berangkat menziarahi Tun Rahah Tan Sri Haji Mohamed Noah di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, hari ini.

Selain baginda berdua, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut meluangkan masa menziarahi bonda kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu.

Beliau mendoakan agar bonda bekas Perdana Menteri Seri Najib Tun Razak diberikan kesembuhan dan dipermudahkan urusan.

“Petang tadi saya meluangkan masa menziarahi Tun Hajah Rahah Tan Sri Haji Mohamed Noah di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur.

“Sama-samalah kita berdoa ke hadrat Allah SWT agar Tun Rahah yang merupakan balu Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak dan juga bonda Datuk Seri Najib diberi kesembuhan dan dipermudahkan ,” ujarnya menerusi hantaran di facebook rasmi beliau.

Sementara itu, Najib merafak sembah dan menjunjung kasih kepada Al-Sultan Abdullah dan Sultan Nazrin kerana mencemar duli berangkat menziarahi Tun Rahah hari ini.

Selain itu, Najib turut mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hadir menziarahi Tun Rahah.

“Terima kasih Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta para pemimpin lain atas kesudian menziarahi bonda ,” katanya menerusi satu hantaran di facebook rasmi beliau.

Dalam pada itu, Najib juga memohon doa orang ramai agar Tun Rahah diberikan kekuatan dan kesembuhan

“Bonda kurang sihat. Ramai yang datang menziarahi bonda di hospital.

“Saya minta saudara-saudari tolong doakan agar bonda diberi kekuatan dan sembuh.

“Ini tempoh yang amat sukar dan merisaukan untuk kami sekeluarga,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.