MARA-AAT lancar program jurutera pesawat berlesen

3,083

17 DIS: Asia AeroTechnic Sdn Bhd (AAT) telah melancarkan program latihan untuk jurutera pesawat berlesen bagi memenuhi memenuhi kelangsungan permintaan Jurutera Pesawat Berlesen dengan Type Rating dalam industri penyelenggaraan pesawat MRO (Maintenance, Repair and Overhaul).

Program usahasama antara AAT bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan juga Part-147 Approved Training Organisation (ATO), iaitu Pusat Latihan Aeroangkasa yang telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah menawarkan dua program iaitu Conversion Program selama dua tahun dan Type Rating Program selama setahun.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, program seperti ini bakal mengiktiraf kepakaran tenaga kerja tempatan terutamanya pelatih untuk memperoleh lesen menjadi jurutera pesawat.

MARA
Dr Abd Latiff Ahmad menyematkan epaulet pada bahu seorang pelatih AAT.

“Lebih membanggakan, AAT satu-satunya syarikat MRO di Malaysia yang mampu menawarkan program seumpama ini yang selari dengan program pendidikan untuk melahirkan modal insan yang global dan berintegriti.

“Program ini merupakan permulaan dan insiatif yang baik dan satu kerjasama yang sangat dinamik antara anak syarikat iaitu AAT dan juga MARA yang merupakan agensi kementerian pembangunan luar bandar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

AAT merupakan anak syarikat milik penuh Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang bergiat aktif dalam bidang ‘Maintenance Repair and Overhaul’ (MRO) pesawat.

AAT juga merupakan ‘Teaching Hospital’ yang menyediakan tempat latihan praktikal (On Job Training – OJT) bagi memenuhi keperluan asas pelatih-pelatih untuk mendapatkan kelayakan Licensed Aircraft Engineers (LAEs).

Setakat ini, AAT telah berjaya menerima sebanyak 15 Approval National Aviation Authority (pensijilan kelulusan untuk menyelenggara pesawat daripada luar negara).

Sementara itu, Pengerusi Asia AeroTechnic, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya memberitahu, pengambilan dan sesi temu duga untuk program ini telah bermula sejak awal Disember lalu dan mensasarkan penyertaan daripada graduan lepasan SPM dan juga pemegang lesen jurutera pesawat bagi kategori A dan B.

“Selain rekod pencapaian AAT yang telah mendapat kepercayaan dan diiktiraf daripada syarikat penerbangan dari dalam dan luar negara, AAT memandang serius dan komited untuk menjadi MRO terbaik sejak penubuhannya pada 2015.

“AAT juga berusaha untuk menjadi hab penyelenggaraan pesawat dan menerajui industri pendapatan tinggi ini di Malaysia dengan membangunkan pembangunan modal insan global yang juga merupakan landasan MARA untuk mencapai objektifnya,” katanya.

MARA
Dr Abd Latiff Ahmad bersama pengurusan dan para pelatih AAT.

Dalam pada itu, seramai empat kakitangan AAT turut ditauliahkan menjadi Jurutera Pesawat Berlesen pada Majlis Graduasi Licensed Aircraft Engineer yang diadakan pada majlis yang sama, menjadikan pentauliahan itu merupakan kumpulan keempat (LAE) yang dilahirkan oleh AAT.

Kejayaan empat kakitangan ini, iaitu Mohd Fazlee Mohd Rosly, 44; Umeir Syukry Omar Talib, 25; Muhammad Luqman Mohamed Siddique, 25 dan Nukhmal Hakim Abdul Sookor, 28 merupakan satu lagi pencapaian yang membanggakan buat AAT. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.