Kementerian Kewangan, BNM pantau permohonan moratorium

83

17 DIS: Kementerian Kewangan memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan pihak institusi kewangan mempermudahkan proses permohonan moratorium bersasar terutama kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang terjejas teruk akibat penularan COVID-19.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pemantauan itu akan dibuat bersama Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memastikan permohonan itu berjalan lancar.

“Seperti diumumkan, golongan B40 akan menerima moratorium ini secara automatik asalkan mereka membuat permohonan manakala M40 perlu mengemukakan pengisytiharan kendiri untuk dapatkan kelulusan tak perlu dokumen.

“Tetapi saya prihatin perkara dibangkitkan, mungkin ada masalah pentadbiran dan kita perlu memantau.

“Jadi, saya dengan BNM akan cuba sedaya upaya untuk memastikan pihak bank untuk membuat moratorium ini tidak menjadi sukar,” katanya menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit COVID-19) 2020 dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan dibangkitkan oleh Ahli Parlimen PH Bagan, Lim Guan Eng yang meminta Menteri Kewangan memberikan penjelasan sejauh mana kementerian melakukan pemantau terhadap pemberian moratorium secara bersasar oleh bank dan institusi kewangan ketika ini.

Dalam pada itu, menjawab persoalan dibangkitkan Ahli Parlimen PAS Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, Tengku Zafrul berkata pihaknya dan BNM turut memantau aduan mengenai permohonan lanjutan moratorium yang ditolak oleh pihak bank.

“Ada memang ada kes tetapi tidak banyak aduan diterima buat masa ini. Bagi pihak yang ingin membuat aduan, Bank Negara ada menyediakan talian khas untuk mereka salurkan aduan. Tetapi saya di pihak kementerian akan turut memantau perkara ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata kerajaan meluluskan peruntukan RM30 juta bagi memastikan perkhidmatan feri di Pulau Pinang boleh beroperasi seperti biasa tahun depan.

Tengku Zafrul berkata, peruntukan itu akan dibayar kepada Pelabuhan Pulau Pinang sebagai badan yang mengambil alih operasi perkhidmatan pengangkutan terbabit.

“Saya mengesahkan peruntukan itu seperti yang diluluskan akan dibayar secara dua ansuran membabitkan RM15 juta akan dibayar pada 2021 seperti diluluskan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021.

“Baki RM15 juta akan disediakan kerajaan. Kerajaan akan memastikan Pelabuhan Pulau Pinang disyaratkan untuk meneruskan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang ikonik dan berwarisan,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.