Jabatan kerajaan Pahang  dilarang anjur program orang ramai

149

17 DIS :  Program melibatkan orang ramai oleh semua jabatan kerajaan daerah Kuantan tidak dibenarkan sebagai langkah tambahan untuk mencegah penularan jangkitan Covid-19 di daerah itu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri menerusi kenyataannya hari ini berkata,  arahan itu berkuatkuasa esok sehingga 31 Disember ini.

“Keputusan itu diambil sebagai langkah tambahan menangani penularan Covid-19 yang mencatatkan peningkatan terutama di daerah Bentong dan Kuantan.

“Ini termasuk urusan di kaunter melibatkan orang ramai dalam daerah Kuantan juga akan dikurangkan dan semua urusan akan menggunakan sistem temu janji bagi mengelakkan kehadiran orang ramai pada satu-satu masa,” jelas kenyataan itu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang juga akan mengambil langkah proaktif untuk mengekang penularan wabak daripada lima kluster aktif di Kuantan.

Antaranya langkah tersebut ialah meningkatkan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terutamanya di sekitar daerah ini.

Dalam tempoh 13 hingga 15 Disember lalu, seramai 75 individu telah dikompaun ekoran kegagalan mematuhi SOP termasuk tidak mengimbas QR Code My Sejahtera, tidak memakai pelitup muka dan tidak mengimbas suhu ketika masuk ke premis,.

Tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas juga akan dikenakan ke atas pemilik premis yang gagal mematuhi SOP termasuk arahan tutup, menurut kenyataan itu lagi.

“Tempat-tempat yang menjadi tumpuan umum seperti kompleks beli-belah, restoran dan premis perniagaan lain perlu memperketatkan pematuhan SOP dalam kalangan pengunjung bagi mengelakkan kompaun dikeluarkan,” katanya.

“Pihak penguat kuasa juga akan memeriksa kediaman pekerja restoran, kilang dan tapak pembinaan.

“Sekiranya wujud keadaan yang boleh menyebabkan penularan penyakit, tindakan sewajarnya juga akan diambil,” katanya.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang turut meminta jawatankuasa masjid dan pentadbir rumah-rumah ibadat bukan Islam supaya memastikan pengunjung yang hadir mematuhi SOP yang telah digariskan.

“Begitu juga penganjur dan tuan rumah majlis kenduri serta keramaian di mana mereka juga perlu mematuhi SOP seperti yang telah ditetapkan sebelum ini.

“Pada masa sama, orang ramai juga diminta untuk mengurangkan aktiviti perkumpulan yang tidak perlu dan sentiasa patuhi SOP selain amalkan penjarakkan fizikal, memakai pelitup muka terutama semasa berada di tempat awam dan elakkan kawasan sesak,” katanya.

Ketika ini, Pahang mencatatkan peningkatan kadar jangkitan Covid-19 terutamanya di daerah Bentong dan daerah Kuantan.

Terdapat lima kluster aktif di daerah Kuantan iaitu Kluster Atabara dan Kluster Inten di sekitar Indera Mahkota, Kluster Kuala (pusat bandar), Kluster Kristal (Sungai Karang Darat) dan Kluster Padang (sekitar Kampung Padang dan Jalan Besar).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.