Guan Eng Jangan Putar Belit Cerita

273

17 DIS : Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong membidas kenyataan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan meminta beliau jangan memutar belitkan kenyataan apabila menuduh kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengkhianati Pulau Pinang dengan menamatkan perkhidmatan feri di negeri itu.

Wee Ka Siong menerusi hantaran terbaru di facebook rasmi beliau, seterusnya berkata, Guan Eng jangan sengaja mahu mengelirukan rakyat dengan mendakwa perkhidmatan feri itu ditamatkan, sedangkan perkhidmatan tersebut masih diteruskan dan ia akan ditambah baik oleh kerajaan.

“Tidak ada penamatan perkhidmatan, yang ada adalah penambahbaikan. Ia juga bukan perkara baharu, tetapi sudah pun berjalan di zaman pemerintahan Pakatan Harapan. Jika Guan Eng lupa, mari saya ingatkan.

“Mantan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sendiri telah mengumumkan di Dewan Rakyat pada 1 Ogos 2018 bahawa sebanyak RM90 juta akan diperuntukkan kepada Prasarana untuk merealisasikan perkara ini.

“Namun, hampir genap setahun kemudian iaitu pada bulan Ogos 2019, Loke mengatakan bahawa peruntukan RM90 juta tersebut tidak dapat dilaksanakan ketika kerajaan Pakatan Harapan memutuskan untuk berunding dengan PPSB bagi mengambil alih perkhidmatan feri dan melabur dalam catamaran baru,” ujarnya.

Jelasnya lagi, Guan Eng sudah pasti mengetahui perkara ini kerana beliau adalah Menteri Kewangan ketika kerajaan PH bersetuju memperkenalkan catamaran ini dan menggunakan feri yang ada sebagai kapal pelancong semata-mata.

“Tapi malangnya peruntukan RM90 juta seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan ketika itu tidak disokong oleh Guan Eng untuk mengekalkan perkhidmatan feri RoRo semasa yang boleh membawa kereta. Tetapi saya percaya Lim Guan Eng pasti tak ingat semua ini.

“Sebab itu hari ini saya merasa sedikit pelik mengapa pimpinan Dap mengutuk kerajaan PN macam kera kena belacan?

“Apakah dosa Kerajaan PN berbuat demikian? Bukankah ini membantu rakyat Pulau Pinang? Di mana logiknya kata Pulau Pinang dikhianati sebagaimana tuduhan yang dilemparkan oleh Lim Guan Eng?

“Sedangkan hakikatnya  catamaran sebagai pengganti feri sedia ada telah pun direstui oleh DAP ketika mereka menjadi kerajaan,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.