GST: Pendapatan boleh guna rakyat hilang RM20b

84

17 DIS: Walaupun Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mampu meningkatkan hasil pendapatan kepada kerajaan berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), namun pelaksanaannya akan mengurangkan pendapatan boleh guna rakyat.

Justeru itu, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, kerajaan sedang mengkaji kesesuaian bagi melaksanakan semula GST atau apa-apa model cukai kepenggunaan dengan mengambil kira pelbagai aspek sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kedua-duanya ada kebaikan dan keburukan dan memang betul dari segi ketulusan tak dapat dinafikan (GST) merupakan sistem telus tetapi masa yang sama ada kelemahan mungkin dilaksanakan sebelum ini gagal sehingga rakyat menolaknya. Memang betul hasil tambahan RM20 bilion lebih melalui GST tetapi rakyat juga akan kehilangan RM20 bilion pendapatan boleh guna.

“Perkara-perkara ini bukan tidak menyokong GST dilaksanakan malah ia merupakan kaedah yang perlu dikaji lebih terperinci kerana ia akan dapat memberikan hasil kepada kerajaan kerana (kaedah) berterusan berhutang untuk laksanakan pembangunan kita khususnya projek-projek pembangunan adalah tidak baik dalam jangka panjang untuk ekonomi kita,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan (Pindaan) 2020 peringkat dasar dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

ABD RAHIM BAKRI
ABD RAHIM BAKRI

Terdahulu, Ahli Parlimen PH Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon dalam pencelahannya menyatakan GST harus dilaksanakan kerana merupakan satu sistem yang tidak pihak yang boleh lari daripada membayar cukai di samping akan menambah pendapatan negara dengan lebih tinggi berbanding cukan jualan dan perkhidmatan (SST).

Dewan Rakyat meluluskan RUU Cukai Jualan (Pindaan) 2020 setelah undian suara mendapati lebih ramai Ahli Parlimen yang bersetuju.

Dalam pada itu, bagi menjawab pertanyaan Shiau Yoon yang meminta penjelasan berkaitan penggunaan kaedah sejarah dalam pengiraan cukai, Abdul Rahim menjelaskan cara itu dilaksanakan bagi menentukan nilai ambang untuk membatalkan pendaftaran cukai oleh sesebuah syarikat.

“Ini bagi memudahkan syarikat untuk maklum kepada ketua pengarah bilai jualan syarikat 12 bulan ke belakang tidak mencapai nilai ambang RM500,000. Ada syarikat memohon batalkan pendaftaran cukai jualan mereka.

“Oleh sebab itu, dalam peruntukan baharu menggunakan kaedah sejarah berbanding sebelum ini. Jika tiada sejarah boleh dikecualikan namun kebiasaannya mereka ini syarikat yang telah menjalankan perniagaan,” katanya.

Terdahulu, Abd Rahim ketika membentangkan RUU tersebut, beliau memberitahu ia merupakan pindaan susulan kepada pindaan yang telah dilaksanakan ke atas Akta Kastam 1967 di samping dilaksanakan bagi memperkemas pelaksanaan layanan cukai jualan yang mempunyai 13 fasal. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.