Tindakan lebih tegas banteras Macau Scam – Shahidan

86

16 DIS: Kerajaan perlu mengambil tindakan lebih tegas terhadap sindiket perjudian haram dan penipuan dalam talian atau Macau Scam kerana menyebabkan mangsa mengalami kerugian beratus juta ringgit setiap tahun.

Ahli Parlimen BN Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kerajaan perlu mengenal pasti dan mencari jalan untuk menghenti kegiatan sindiket perjudian haram dan penipuan online selamanya.

“Perkara ini kerajaan dan menteri berkenaan kena berfikir untuk menanganinya tidak perlu jawab bertulis tetapi kena berfikir bahawa apa yang harus dibuat kepada ‘black economy’ ini.

“Kerajaan kena cari jalan bagaimana kita boleh mendapatkan cukai. Ini tidak termasuk soal pengedaran dadah, pelacuran dan sebagainya. Itu memang perlu dikuatkuasakan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Kewangan 2020 dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Jalaluddin Alias
JALALUDDIN ALIAS

Sementara itu, Ahli Parlimen BN Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias meminta kerajaan menetapkan harga siling vaksin COVID-19 termasuk kos perundingan yang akan dijual di pasaran tempatan kelak.

Menurut beliau, langkah itu perlu kerana pada bulan lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mengumumkan harga maksimum yang ditawarkan kepada Malaysia menerusi pelan peruntukan vaksin COVID-19 global, COVAX ketika ini adalah AS$21 (RM87.60) bagi setiap satu dos.

Jalaluddin berkata, Fasal 14, Rang Undang-Undang Kewangan 2020 menjelaskan tujuan pindaan Seksyen 46, Akta Cukai pendapatan 1967 adalah bagi menguatkuasakan langkah-langkah cukai pendapatan individu.

“Jadi timbul persoalan dihati saya bahawa adakah harga jualan akhir vaksin COVID-19 termasuk caj konsultasi atau perkhidmatan adalah lebih tinggi daripada disebutkan oleh YB Rembau,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Jalaluddin ingin mengetahui sama ada pelepasan cukai pendapatan individu RM1,000 berkenaan adalah terpakai untuk individu terbabit sahaja atau boleh digunakan untuk ahli keluarga lain termasuk isteri dan anak serta ibu bapa mereka.

“Jika kos perubatan dan pemberian vaksin untuk ibu bapa tidak dikira saya mohon dimasukkan kerana ramai anak memikirkan soal kesihatan ibu bapa mereka dengan memastikan golongan berkenaan mendapatkan vaksinasi bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19,” katanya.

SALIM SHARIF
SALIM SHARIF

Sementara itu, Ahli Parlimen BN Jempol, Datuk Salim Sharif dalam perbahasannya meminta Kementerian Kewangan menjelaskan mengenai kemungkinan ada pihak tertentu menyalahgunakan Cukai Aktiviti Perniagaan di Labuan.

Justeru, Salim menggesa kerajaan supaya memandang serius mengenai aktiviti tidak bertanggungjawab berkenaan kerana menyebabkan kerugian hasil cukai bernilai jutaan ringgit kepada negara. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.