Semangat kebersamaan penting demi kebajikan rakyat

113

16 DIS : Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengingatkan ahli parlimen kerajaan agar meneruskan semangat kebersamaan supaya segala perancangan kerajaan untuk kebajikan dan kepentingan rakyat dapat dilaksanakan dengan baik.

Katanya, pemulihan ekonomi dan kebajikan rakyat yang sedang dirancang kerajaan akan dilaksanakan dengan lebih tersusun berdasarkan semangat kebersamaan yang diperlihatkan ahli parlimen kerajaan yang ada hari ini.

“Sokongan yang diperlihatkan bukti keprihatinan dan kebersamaan semua ahli parlimen Kerajaan dalam menentukan kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta pemulihan ekonomi dapat dilaksanakan seperti yang dirancang.

“Selain itu, saya minta semua wakil rakyat sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik untuk masyarakat di kawasan yang diwakili masing-masing, ” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu ucapan ringkas ketika mengadakan pertemuan bersama wakil rakyat dari Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) pada satu majlis makan tengahari di Parlimen.

Muhyiddin turut merakamkan ucapan penghargaan kepada semua wakil rakyat, khusus PNBBC atas sokongan terhadap Belanjawan 2021 yang dibentangkan.

“Saya merakamkan penghargaan kepada semua wakil rakyat, khususnya PNBBC atas sokongan yang diberikan sehingga Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 diluluskan oleh Dewan Rakyat semalam,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.