Tangguh PRK DUN Bugaya satu keputusan tepat

51

16 DIS: Keputusan Yang di-Pertuan Agong memperkenankan permohonan kerajaan untuk mengisytiharkan proklamasi darurat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya bagi menangguhkan pilihan raya kecil (PRK) kawasan terbabit adalah tepat pada masanya berikutan kes penularan Covid-19 di Sabah yang masih tinggi.

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata keputusan itu tepat dan sesuai dengan keadaan ketika ini berikutan penularan pandemik COVID-19.

“BN dan UMNO Sabah menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan proklamasi darurat di DUN Bugaya bagi mengelak PRK yang dijadualkan bulan depan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah sebelum ini mengumumkan keputusan BN dan UMNO Sabah untuk tidak meletakkan calon bagi PRK DUN Bugaya jika PRK itu diteruskan.

Beliau menambah, pengisytiharan darurat adalah tindakan yang perlu supaya tidak memburukkan lagi krisis kesihatan dan mengelak kehilangan lebih banyak nyawa.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdulllah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan mengisytiharkan darurat di Parlimen Gerik, Perak dan DUN Bugaya, Sabah bagi mengelak PRK sebagai langkah proaktif membendung COVID-19.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini menyatakan baginda berpuas hati bahawa ada keperluan mengisytiharkan Proklamasi Darurat di dua kawasan berkenaan.

Pengisytiharan itu berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi memahsyurkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(No 2) 2020 Sn Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 3) 2020 di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Gerik, Perak dan DUN Bugaya diadakan secara serentak, pada 16 Januari 2021.

PRK Bugaya perlu diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Datin Manis Muka Mohd Darah dari Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang meninggal dunia akibat masalah buah pinggang di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu, pada 17 November lalu.

Manis Muka, 65, mempertahankan kerusi DUN Bugaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September lalu dengan majoriti 6,005 undi, mengatasi enam pencabarnya.

Proklamasi darurat sebelum ini disytiharkan di Parlimen Batu Sapi bagi mengelak PRK kawasan itu yang dijadualkan pada awal Januari depan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong, juga daripada WARISAN.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.