RUU Kewangan 2020 tambah baik pentadbiran cukai

159

16 DIS: Kementerian Kewangan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2020 yang turut merangkumi tujuh pindaan akta berkaitan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Tujuh akta yang akan dipinda di bawah RUU Kewangan 2020 termasuklah Levi Keuntungan Luar Biasa 2020, Cukai Perkhidmatan 2020, Cukai Jualan 2020, Zon Bebas 2020, Eksais 2020, Kastam 2020 dan Cukai Pelancongan 2020.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, RUU Kewangan 2020 dicadangkan adalah bagi menguatkuasakan langkah-langkah cukai yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2021, pada 6 November lalu.

Beliau berkata, langkah berkenaan juga selari dengan keputusan kerajaan untuk penambahbaikan pentadbiran cukai yang memerlukan pindaan kepada akta berkaitan.

Katanya, RUU ini mempunyai 66 fasal yang dibahagikan kepada lapan bab termasuk Bab I – pengenalan kepada RUU Kewangan 2020 dan merangkumi skop Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Setem 1949, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967, Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990, Akta Kewangan 2012 dan Akta Kewangan 2018.

“Pindaaan terhadap Akta Levi Keuntungan Luar Biasa 1998 itu antara lain adalah bagi memberi kuasa kepada menteri untuk meremit keseluruhan atau mana-mana bahagian levi keuntungan luar biasa yang perlu dibayar.

“Pindaan itu juga dibuat untuk memberi Ketua Pengarah kuasa meremit keseluruhan atau mana-mana bahagian penalti yang perlu dibayar di bawah Akta 592,” katanya ketika membentangkan RUU Kewangan 2020 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Mohd Shahar berkata pindaan bagi Akta Cukai Perkhidmatan 2018 pula bertujuan memberi Ketua Pengarah kuasa bagi mengarahkan mana-mana orang berdaftar untuk memotong jumlah pembayaran balik terhadap jumlah cukai perkhidmatan yang perlu dibayar daripada penyata di bawah Seksyen 26.

Katanya, bagi Akta Cukai Jualan 2018 pindaan bertujuan memberi Ketua Pengarah kuasa memegang keseluruhan atau mana-mana bahagian amaun pembayaran balik untuk dikreditkan kepada mana-mana tempoh bercukai berikutnya atau seterusnya.

“Akta Zon Bebas 1990 yang akan dipinda adalah untuk memasukkan seksyen baharu 17A dan 17B ke dalam Akta 438 bagi menambah kuasa kepada pegawai kanan kastam seperti diperuntukkan di bawah Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) berhubung penguatkuasaan, penyiasatan dan pemeriksaan.

“Pindaan bagi Akta Eksais 1976 bertujuan meminda Subseksyen 19(1) Akta 176 untuk memperuntukkan amaun minimum tuntutan bagi pulangan cukai yang boleh dibuat bagi barang-barang yang duti eksais telah dibayar apabila barang-barang itu dieksport.

“Pindaan Akta Kastam 1967 pula bagi meminda Subseksyen 93(1) Akta 235 untuk memperuntukkan bahawa apabila apa-apa barang yang duti kastam telah dibayar, dieksport semula, Ketua Pengarah boleh membenarkan sembilan per sepuluh daripada duti yang dikira mengikut Subseksyen 93(2) Akta 235 dibayar semula sebagai pulangan cukai,” katanya.

Beliau berkata, pindaan Akta Cukai Pelancongan 2017 bertujuan mengadakan peruntukan bagi takrif baharu ‘pemberi perkhidmatan platform digital’ dan ‘perkhidmatan yang berhubungan dengan tempahan premis penginapan dalam talian’. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.