Rayer jangan berlagak hero bela kematian Adib

219

16 DIS: Ahli Parlimen BN Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mengingatkan Ahli Parlimen PH Jelutong, RSN Rayer supaya jangan berlagak seperti ‘hero’ untuk membela kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang maut akibat insiden rusuhan di kuil Hindu, dua tahun lalu.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) berkata, kerajaan PN yang sebenarnya memperjuangkan kes itu sejak dari mula lagi sedangkan Pakatan Harapan (PH) dahulu tidak melakukan sebarang tindakan.

“Jangan hanya bercakap, konon nak jadi hero. Tidak payah jadi hero. Bila kami sudah buat, jangan ambil kesempatan untuk dilihat kononnya berjuang sesuatu tetapi sebenarnya tidak buat apa-apa.

“Apa pun kita perlu bersyukur Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin telah bertindak dan cuba selesaikan penyiasatan kes Adib ini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Kastam 2020 dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Rayer membangkitkan tentang kelewatan proses siasatan kes-kes berprofil tinggi seperti kematian Allahyarham Muhammad Adib dan mengesan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Dalam sidang Dewan Rakyat kelmarin, Hamzah memberitahu, hasil siasatan berhubung punca kematian Muhammad Adib akan diumumkan dalam masa terdekat.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis 2018 di Institut Jantung Negara ekoran kecederaan parah dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.