PDRM tahan 235 individu ingkar arahan PKP

77

16 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 235 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 233 individu telah dikompaun manakala dua individu pula direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (82), tidak memakai pelitup muka (81), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (57 dan lain-lain (15),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri Yaakob
ISMAIL SABRI YAAKOB

Beliau menambah, pasukan keselamatan berjaya menahan 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan lima penyeludup serta merampas tujuh kenderaan berat dan empat bot dalam Op Benteng semalam.

Ismail Sabri memberitahu, sebanyak 117 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem).

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 43 operasi sanitasi awam dilakukan di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di seluruh negara, semalam.

Operasi tersebut meliputi 10 Zon Merah, 1 Zon Jingga, 11 Zon Kuning dan 4 Zon Hijau yang melibatkan 8 buah negeri dan 1 wilayah persekutuan iaitu Melaka (15 operasi), Sabah (11 operasi), Kedah (6 operasi), Pahang (3 operasi), Sarawak (2 operasi), Kelantan (2 operasi), Terengganu (2 operasi), dan Negeri Sembilan (1 operasi) serta Kuala Lumpur (1 operasi).

Selain itu, penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah memeriksa 20 tapak binaan di seluruh semalam dan kesemuanya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah melakukan 708 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKP Pemulihan (PKPP).
“Daripada jumlah itu, 707 premis mematuhi SOP yang telah ditetapkan manakala sebuah premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP,” kata Ismail Sabri. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.