Nisbah hutang kerajaan 56.8 peratus daripada KDNK

105

16 DIS: Jumlah nisbah hutang kerajaan Persekutuan pada akhir November lalu mencatatkan RM818.2 bilion atau 56.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata berdasarkan pengiraan had statutori nisbah hutang Kerajaan Persekutuan merangkumi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) membuktikan hutang negara berada dalam had yang dibenarkan.

“Status kedudukan hutang kerajaan berdasarkan statutori di bawah Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan (Penyakit Koronavirus 2019(COVID19) Akta 830 yang meliputi MGS, MGII dan MITB.

“Nisbah hutang terkumpul kerajaan Persekutuan kepada KDNK pada akhir November 2020 adalah RM818.2 bilion bersamaan 56.8 peratus KDNK. Oleh itu, paras hutang berdasarkan had statutori masih lagi di bawah had 60 peratus KDNK yang telah ditetapkan,”katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff tentang jika hutang-hutang negara terkini adalah dalam had yang dibenarkan tertakluk pada Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, menjawab soalan asal Yusmadi tentang status hutang kerajaan Malaysia berhubung projek-projek mega yang dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), Tengku Zafrul memberitahu, beberapa projek yang ditangguhkan seperti Transit Aliran Ringan 3 (LRT3),Tren Aliran Transit Massa 2 (MRT 2), dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diteruskan semula dengan skop dan kos yang telah ditambah baik.

“Pada masa sama, beberapa projek seperti projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, Trans Sabah Gas Pipeline (TGPP), Tren Aliran Transit Massa 3(MRT 3), Multi Product Pipeline (MPP) masih dalam proses rundingan untuk dilaksanakan semula.

“Sehingga kini, kerajaan tetap meneruskan obligasi pembayaran hutang seperti yang terkandung dalam perjanjian=perjanjian berkenaan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.