Mohamad Ali dilantik Timbalan Speaker Dewan Negara

413

16 DIS: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara ke-18 dan mengangkat sumpah jawatan tersebut, hari ini.

Mohamad Ali merupakan satu-satunya calon yang memegang jawatan itu bagi menggantikan Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad yang tamat perkhidmatan pada 22 November lalu

Terdahulu, usul pencalonan Mohamad Ali dilakukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan mewakili Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengikut Peraturan Mesyuarat 5 (2), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara

Usul itu disokong olah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Shabudin Yahaya.

Mohd Ali yang juga Penasihat UMMAH Melaka merupakan bekas guru serta ahli perniagaan dan lulusan Institut Bahasa Kuala Lumpur dalam bidang perguruan.

Selain Mohd Ali, Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Guan Dee Koh Hoi telah dilantik sebagai senator baharu dan Datuk Paul Igai dan Dr Nuing Jeluing telah dilantik semula sebagai Senator.

Mohd Ali dan tiga senator tersebut telah mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim di bangunan Parlimen.

rais yatim
RAIS YATIM

Dalam pada itu, Rais dalam ucapannya yakin bahawa pengalaman, latar profesionalisme dan kepakaran Mohamad Ali diyakini dapat digembeling sepenuhnya bersama-sama beliau bagi memacu sidang dewan berlangsung secara tertib, licin dan sempurna, di samping memastikan Dewan Negara selaku badan legislatif berperanan dengan cemerlang sebagai institusi semak dan imbang perundangan tertinggi negara.

Beliau juga turut memperingatkan kepada semua senator khususnya yang baharu dilantik agar menghayati sepenuhnya aspirasi pelantikan sebagaimana Perkara 45 (1) (2) Perlembagaan Persekutuan agar tanggungjawab sebagai Ahli Senat ini dilunaskan dengan sebaik mungkin.

“Dewan Negara diharapkan dapat menjadi pengimbang matang kepada keputusan Dewan Rakyat. Menjadi tujuannya juga supaya Dewan Negara dapat menurunkan suhu politik kepartian yang sentiasa panas di Dewan Rakyat, dengan membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) atau hal-hal berbangkit berkenaan negara secara lebih neutral dengan berpaksikan budi yang baik.

“Perlu kita letakkan keadaan yang tertinggi agar dewan ini tidak seperti mana institusi yang akhir-akhir ini dapat kita lihat telah berkecamuk nilai-nilainya semasa berbahas. Jika seorang murid melihat seseorang Ahli Parlimen itu berucap atau menggunakan perkataan atau isyarat lucah, di manakah letaknya kewibawaan kepemimpinan negara kita.

“Apakah jenis hasil, ikhtibar atau contoh yang hendak kita warisi kepada generasi akan datang. Oleh itu, Ahli-ahli Dewan Negara perlu menunjukkan kewibawaan, kemampuan dan ketelusan masing-masing kita untuk kita berjuang memberi sesuatu perbandingan yang sama-sama boleh dicontohi dan dinilaikan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Rais juga turut memberi penghargaan di atas sumbangan Abdul Halim dan bekas Senator Prof Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah yang tamat tempoh perkhidmatan mereka November lalu.

“Kepada kedua-duanya, Dewan ini mengucapkan sekalung penghargaan dan terima kasih tidak terhingga di atas sumbangan, dedikasi serta curahan khidmat bakti, bukan sahaja kepada Dewan Negara, tetapi lebih penting adalah terhadap agama, bangsa dan negara.

“Saya penuh yakin dan percaya, penyertaan aktif kedua-dua Yang Berhormat selama ini telah dapat membantu meringankan masalah yang ditanggung masyarakat dan negara,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.