Kajian teliti zon bebas Pangkalan Kontena Butterworth

60

16 DIS: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedang melaksanakan kajian teliti bagi mewartakan Pangkalan Kontena Butterworth Utara sebagai kawasan Zon Bebas seperti yang diumumkan oleh Pakatan Harapan (PH) ketika mentadbir Kerajaan Persekutuan.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri berkata buat masa ini, draf perundangan telah pun dikeluarkan dan dalam proses penelitian terperinci oleh Jabatan Peguam Negara.

“Untuk Ahli Yang Berhormat Jelutong, keluasan kawasan di zon bebas di Pangkalan Kontena Butterworth Utara Pulau Pinang akan terus dilaksanakan.

“Pada masa ini draf perundangan dalam proses semakan oleh Jabatan Peguam Negara,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang RUU) Zon Bebas (Pindaan) 2020 peringkat jawatankuasa dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

ABD RAHIM BAKRI
ABD RAHIM BAKRI

Terdahulu, Ahli Parlimen PH Jelutong, RSN Rayer dalam perbahasannya bertanya jika kerajaan berhasrat untuk meneruskan pemberian status kawasan zon bebas kepada Pelabuhan Pulau Pinang seperti yang pernah diumumkan oleh Kerajaan PH.

Dewan Rakyat meluluskan RUU Zon Bebas (Pindaan) 2020 setelah undian suara mendapati lebih ramai Ahli Parlimen yang bersetuju.

Dalam pada itu, bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen PH Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham tentang berapa lamakah perlu bagi pelancong untuk tinggal di Pulau Pangkor bagi menikmati keistimewaan pengecualian cukai, Abd Rahim memberitahu, pengunjung perlu tinggal di pulau itu selama tempoh 48 jam.

Menurut beliau, ini kerana Pulau Pangkor digazetkan sebagai pulau bebas cukai dan bukannya zon bebas cukai dan semua barang yang dibawa masuk ke pulau itu akan dikecualikan dari duti import, duti eksais, dan cukai jualan kecuali apa-apa barangan bermotor serta sebarang barangan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

“Pada masa ini, barang yang layak pengecualian cukai, yang pertama minuman keras tidak melebihi satu liter. Kedua, produk tembakau tidak melebihi 225 gram atau rokok tidak melebihi 200 batang dan ketiga, pakaian baharu tidak melebihi tiga pasang.

“Seterusnya sepasang kasut dan bahan penyediaan makanan tidak melebihi RM150 dan semua barangan selain tayar dan tiub yang tidak bernilai melebihi RM500. Ini adalah keistimewaan yang diberikan kepada zon bebas di Pulau Pangkor,” katanya.

Terdahulu, Abd Bakri ketika membentangkan berkenaan RUU tersebut, beliau memberitahu ia bagi meminda Akta Zon Bebas 1990 yang akan memasukkan seksyen baharu 17A dan 17B ke dalam Akta 438 bagi menambah kuasa kepada pegawai kanan kastam seperti diperuntukkan di bawah Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) berhubung penguatkuasaan, penyiasatan dan pemeriksaan.

“Fasal ketiga bertujuan memasukkan subseksyen baharu 26 (3A) (3B) bagi memperuntukkan kuasa kepada pegawai kastam untuk mengangkut premis atau tempat yang mengandungi barang, dokumen atau benda yang tidak dapat dialihkan bagi tujuan pensitaan. Peruntukan ini juga menjadi satu kesalahan bagi mana-mana mereka yang menggangu penyitaan.

“Boleh dikenakan hukuman terhadap kesalahan berkenaan dan fasal keempat bertujuan memasukkan subseksyen baharu 30B bagi memperuntukkan keterangan ejen provokasi dan keterangan yang diberi kepada ejen provokasi untuk digunakan dalam satu pertuduhan di bawah akta dan kelima adalah pindaan lain yang tidak dinyatakan secara khusus adalah pindaan bersifat constitution in nature,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.