2 kakitangan Rapid Rail sah positif Covid-19

63

16 Dis – Rapid Rail Sdn Bhd hari ini memaklumkan dua kakitangan operasi transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang bertugas sebagai pegawai stesen telah disahkan positif Covid-19 dan kini sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Bagaimanapun, Rapid Rail dalam satu kenyataan, memberi jaminan bahawa perkhidmatan LRT Kelana Jaya dan rangkaian-rangkaian rel yang lain adalah selamat untuk pengguna perkhidmatan itu.

“Tren-tren berkenaan telah ditetapkan untuk menjalani kerja-kerja pembasmian kuman dan pembersihan setiap hari semasa waktu puncak dan selepas operasi.

“Insiden ini adalah di kawasan yang tertutup. Berdasarkan siasatan kami, kedua-dua staf tiada kontak rapat dengan penumpang. Mereka bertugas buat kali terakhir pada 12 dan 13 Dis lepas,” menurut kenyataan itu.

Pihak pengurusan Rapid Rail, selaku operator LRT laluan Kelana Jaya, telah pun melaksanakan kerja-kerja disinfeksi dan pembersihan tempat kerja staf berkenaan malam tadi, berpandukan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Semua kakitangan lain yang mempunyai kontak rapat dengan kedua-dua staf terbabit juga diarah menjalani ujian saringan dan kuarantin kendiri selama 14 hari seperti yang ditetapkan di bawah prosedur operasi standard (SOP) KKM, jelas kenyatan itu.

“Pihak pengurusan dan staf Prasarana, khususnya di Rapid Rail dan Rapid Bas telah dilatih untuk menerapkan piawaian dan protokol tertinggi untuk kebersihan dan sanitasi berkaitan COVID-19 selaras ketetapan KKM bagi memastikan keselamatan dan keselesaan para penumpang.

“Pengguna diingatkan sentiasa mematuhi SOP ditetapkan, khususnya memakai pelitup muka dengan kemas sepanjang masa, sentiasa mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman serta mengambil suhu badan dan mendaftar dengan aplikasi MySejahtera atau di buku log sebelum memasuki tren,”katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.