Covid-19 : Tujuh kematian, 1295 kes baharu dikesan

146

16 DIS : Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham mengumumkan sebanyak 1295 kes baharu jangkitan Covid-19 telah dikesan dan tujuh kes kematian yang melibatkan lima kes di Sabah, satu kes di Selangor dan Kelantan hari ini.

Menurut beliau, tujuh kes kematian COVID-19 pada hari ini  menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 429 kes bersamaan 0.49 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 14,751 kes.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat 10 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,285 kes.

“Negeri Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 481 kes (37.1 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 356 kes (74.0 peratus) adalah dari kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang giat dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh negeri Sabah yang melaporkan sebanyak 268 kes (20.7 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 232 kes (17.9 peratus).

Sebanyak 57 kes bersaman 4.4 peratus yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan sebanyak 26 kes, Kluster Tembok sebanyak 22 kes, Kluster Penjara Seberang Perai sebanyak 8 kes dan Kluster Bakti sebanyak 1 kes, ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bilangan kes sembuh COVID-19 hari ini  adalah sebanyak 1,052 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 72,733 kes  bersamaan 82.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sehingga 16 Dis, terdapat 113 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 53 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.