Pelawa Ahli Parlimen Pembangkang, Bebas sertai kerajaan

52

16 DIS : Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, kini adalah masanya untuk memperkasakan lagi permuafakatan politik di antara parti-parti politik dalam kerajaan untuk memperbaiki keadaan politik negara yang tidak begitu stabil hari ini.

Justeru, beliau melontarkan beberapa cadangan antaranya ialah memperluaskan lagi penyatuan dengan membawa masuk ahli parlimen pembangkang dan bebas yang tertentu untuk menyertai kerajaan.

“Selain itu, membuat persiapan sebagai persediaan menghadapi PRU ke 15 secepat mungkin dengan memantapkan lagi permuafakatan antara parti-parti politik utama di negara kita. BN, PN, BPS dan GRS berupaya menjadi teras kepada penyatuan.

“Majlis presiden parti-parti kerajaan juga harus duduk semeja bagi melakar ‘roadmap’ politik nasional. Hanya dengan kerajaan yang kuat barulah kestabilan politik dapat diwujudkan,” ujarnya menerusi hantaran terbaru di facebook rasmi beliau.

Beliau berkeyakinan terdapat 50 lagi kerusi yang mempunyai prospek untuk menang pada PRU 15 akan datang.

“InsyaAllah, terdapat 50 lagi kerusi yang mempunyai potensi untuk menang pada PRU yang akan datang ini, dengan syarat kita tidak membiarkan pihak tertentu untuk memecah belahkan solidariti yang telah wujud antara parti-parti politik kerajaan hari ini.

“Kelulusan Belanjawan 2021 yang telah diuji berkali-kali oleh pihak pembangkang bukti kekentalan dan kebijaksanaan gabungan muafakat parti politik kerajaan PN. Sudah tiba masanya untuk kita perkasakan lagi permuafakatan ini.

“Belanjawan 2021 sudah pun diluluskan Dewan Rakyat dan kini tibalah masanya untuk kita bekerja keras untuk membela rakyat dan membangunkan negara,” tegasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.