SUPOL Takiyuddin jawab isu WhatsApp dengan Tengku Zafrul

921

15 DIS: Cetakan skrin perbualan melalui aplikasi WhatsApp antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung projek pembangunan di Kedah didakwa sengaja dipetik di luar konteks.

Setiausaha Politik Takiyuddin, Wan Rohimi Wan Daud berkata, perbualan berhubung penglibatan anak syarikat milik kerajaan negeri Kedah, Bina Darulaman Berhad (BDB) dan cadangan penglibatan rakan usahasama (JV), Taliworks Corporation dalam projek tersebut ditularkan dengan niat yang curang untuk membina persepsi negatif dan mencemarkan nama baik pihak-pihak berkaitan.

“Adalah dimaklumkan bahawa YB Datuk Takiyuddin bin Hassan telah dilantik YAB Perdana Menteri sebagai Menteri Penyelaras antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri Kedah yang berkuat kuasa mulai 01 September 2020,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, selaras dengan pelantikan itu, adalah menjadi antara tugas Takiyuddin memperkukuhkan kedududan dan perhubungan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Kedah dengan penyampaian maklumat yang tepat agar selari dengan dasar-dasar negara.

Selain itu, Wan Rohimi memberitahu, Takiyuddin juga memberi tumpuan khas sebagai pemudah cara terhadap isu-isu berbangkit sama ada program atau projek pembangunan antara kementerian, jabatan atau agensi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Kedah.

Beliau menambah, tugas-tugas lain Takiyuddin adalah menjadi pemudah cara kepada urusan penyaluran bantuan kebajikan kepada rakyat Kedah daripada kerajaan Persekutuan, pengerusi bersama dengan Menteri Besar Kedah berhubung dengan pengurusan bencana dan apa-apa tugas yang diarahkan oleh Perdana Menteri dari masa ke semasa yang melibatkan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Kedah.

“Sehubungan itu, suka saya nyatakan bahawa cetakan perbualan (perbincangan) melalui aplikasi WhatsApp tersebut adalah sebahagian daripada bidang tugas dan tanggungjawab YB Datuk Takiyuddin bin Hassan atas kapasiti beliau selaku Menteri Penyelaras antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Kedah, untuk memberi tumpuan khas sebagai pemudah cara khususnya dalam hal pembangunan yang melibatkan kementerian, jabatan, agensi Persekutuan dan kerajaan negeri Kedah,” jelasnya.

Dalam kenyataan itu, Wan Rohimi turut melampirkan penjelasan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor semalam berhubung isu tersebut.

Muhammad Sanusi berkata, perbualan dalam aplikasi WhatsApp itu berkisan tentang penglibatan BDB dalam projek Loji Rawatan Air (LRA) Plubang yang telah berjalan sejak 2018.

Beliau menjelaskan, daripada lima LRA yang akan dibina di Kedah dalam masa terdekat, empat LRA ditender secara terbuka memandangkan ia adalah geran Persekutuan.

sanusi
MUHAMMAD SANUSI MD NOR

“Satu LRA diberi secara rundingan terus kepada BDB kerana LRA Plubang dibiayai secara pinjaman kerajaan negeri Kedah kepada Persekutuan.

“Amalan ini adalah normal memandangkan pendapatan anak-anak syarikat kerajaan akan digunakan semula untuk membantu kerajaan negeri melaksanakan program-program kerajaan,” ujarnya.

Muhammad Sanusi memberitahu, memandangkan dasar kerajaan pusat tentang kaedah perolehan projek telah berubah, kerajaan negeri terpaksa mendapat kelulusan Kementerian Kewangan walaupun ia adalah projek dibiayai secara pinjaman.

“Maka beberapa surat dan dokumen berkaitan telah dihantar oleh kerajaan negeri Kedah untuk semakan dan kelulusan Menteri Kewangan beberapa minggu lalu.

“Memandangkan masa semakin suntuk untuk LRA Plubang disegerakan bagi menjamin bekalan air ke beberapa daerah tidak mengalami krisis, maka saya memohon bantuan Menteri Penyelaras Kedah-Persekutuan (Datuk Takiyuddin) untuk memeriksa status permohonan Kedah itu dengan Menteri Kewangan,” katanya.

Beliau menyatakan, Taliworks yang baru tamat konsesi 25 tahun pengurusan air di Langkawi turut memohon projek tersebut dilaksanakan oleh BDB secara usahasama dengan syarikat mereka dan permohonan mereka telah dikemukakan terus kepada kerajaan Persekutuan.

“Oleh kerana BDB telah selesai melantik kontraktor dan rakan JV bagi projek LRA Plubang sejak Ogos lagi, malah telah melaksanakan majlis pecah tanah bagi projek itu, maka kerajaan negeri mencadangkan Taliworks boleh dipertimbangkan untuk bekerjasama dalam projek akan datang, antaranya projek LRA ke Langkawi yang telah diumumkan oleh kerajaan Persekutuan beberapa tahun lalu,” katanya.

Walau bagaimanapun, Muhammad Sanusi berkata, ia tetap tertakluk kepada kaedah dan proses perolehan kerajaan yang ditentukan oleh kerajaan Persekutuan. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.