Lantikan politik GLC bukan punca penarafan kredit turun

77

15 DIS: Dakwaan sesetengah pihak kononnya Ahli Lembaga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Kementerian Kewangan merupakan lantikan politik sehingga menyebabkan penarafan kredit negara menyusut adalah tidak benar.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, walaupun terdapat ahli lembaga dalam kalangan pemimpin politik, namun tidak sewenang-wenangnya akan dipilih dan perlu melalui tapisan yang ketat sebelum menjawat jawatan tersebut berpandukan pada Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG).

Menurut beliau, sebarang pemilihan ahli lembaga pengarah termasuk ahli politik dibuat berdasarkan kesesuaian dari segi kelayakan, pengalaman dan kepakaran yang juga mengambil kira polisi kerangkuman dan kepelbagaian di bawah MCCG 2017.

“Selain itu, lantikan politik juga perlu melalui pelbagai saringan seperti Bursa Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain.

“Saya ingin tegaskan kerajaan sentiasa komited memastikan amalan tadbir urus terbaik sentiasa dipegang,” katanya dalam sesi waktu pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PH Bagan, Lim Guan Eng tentang lantikan politik bagi menggantikan golongan profesional Lembaga Pengarah GLC.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul memberitahu penyusutan Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) mata wang asing jangka panjang Malaysia setakat ini tidak mencetuskan kesan ‘mengejutkan’ terhadap pasaran modal.

Menurut beliau FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dan mata wang ringgit kekal stabil yang merekodkan permintaan tinggi 2.6 kali melebihi nilai tawaran untuk bon Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) 10 tahun yang diterbitkan minggu lalu.

“Semalam, saya mengumumkan bahawa lapan pengurus dana modal teroka dari Amerika Syarikat, Korea Selatan, China, Indonesia dan Singapura bersetuju melabur dalam syarikat pemula Malaysia.

“Ia membabitkan nilai pelaburan hingga RM1.57 bilion ringgit. Dalam kata mudahnya, keyakinan pelabur terhadap pasaran modal negara jangka panjang masih kukuh,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.