Kes saman Anwar-Khairy kembali ke Mahkamah Rayuan

117

15 Dis – Kes saman fitnah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin  akan dikembalikan ke mahkamah rayuan setelah lima panel  Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan rayuan Khairy terhadap keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Ini memberikan peluang kepada Ahli Parlimen Rembau itu untuk mencabar saman fitnah yang difailkan terhadapnya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, 12 tahun lepas.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim hari ini membenarkan rayuan Khairy terhadap keputusan mahkamah rayuan menolak rayuannya dalam saman fitnah difailkan terhadapnya oleh Anwar.

Empat hakim Mahkamah Persekutuan yang lain ialah Datuk P. Nallini, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Rhodzariah Bujang.

“Kes ini dikembalikan ke Mahkamah Rayuan untuk mendengar merit kes ini,” kata Abang Iskandar yang kemudian menetapkan esok untuk pengurusan kes melalui prosiding e-review.

Selain itu, mahkamah juga memerintahkan Anwar membayar RM30,000 sebagai kos kepada Khairy.

Prosiding dijalankan secara dalam talian dengan lima hakim dan beberapa pegawai mahkamah di mahkamah terbuka manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Khairy dan  J.Leela bagi pihak Anwar secara maya di hadapan panel melalui aplikasi zoom.

Pada April tahun lepas, Khairy mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuannya selepas memutuskan bahawa wujud lebih daripada satu maksud dalam notis rayuannya.

Anwar menfailkan saman terhadap Khairy, yang ketika itu menteri belia dan sukan dan juga naib ketua Pemuda UMNO pada 7 Mac, 2008, mendakwa Khairy telah membuat kenyataan memfitnahnya dalam ceramah di Lembah Pantai pada 20 Feb tahun sama dan telah menyebabkan klip video bertajuk “Anwar and kin no threat” disiarkan di portal berita.

Hakim Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan memerintahkan Khairy membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am kepada Anwar pada September 2017 dan menolak permohonan Khairy untuk meminda pernyataan pembelaannya untuk menyatakan bahawa kenyataannya adalah komen yang adil.

Pada Februari  2018, Mahkamah Rayuan mengetepikan rayuan Khairy selepas membenarkan permohonan dikemukakan peguam mewakili Anwar untuk membatalkan notis rayuan itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.