Gelembung perjalanan rancak semula pelancongan antarabangsa

90

15 DIS: Perbincangan dan kajian sedang dijalankan untuk membenarkan gelembung perjalanan secara langsung ke wilayah berstatus hijau dan negara tertentu dalam usaha menghidupkan semula pelancongan antarabangsa.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah berkata bagi maksud tersebut, kementerian mengalu-alukan usaha kerajaan dalam melaksanakan konsep gelembung perjalanan ke beberapa negara seperti Singapura, Brunei, Thailand, Vietnam, New Zealand, Australia, Korea Selatan dan Jepun.

“Dalam hubungan ini, cadangan gelembung perjalanan tersebut adalah tertakluk kepada rundingan yang sedang diadakan di antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Luar dengan negara-negara terbabit.

“Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan syarikat penerbangan terus bekerjasama bagi meningkatkan kesedaran dan keyakinan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan penerbangan bagi menggerakkan dan memulihkan sektor pelancongan domestik,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

HASBI HABIBOLLAH
HASBI HABIBOLLAH

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen BN Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid tentang mekanisme yang dirangka oleh pihak Kementerian bagi membantu serta memulihkan semula industri penerbangan tambang murah kerana sebelum ini turut membantu meningkatkan perkembangan ekonomi negara.

Dalam perkembangan berkaitan, menjawab soalan tambahan Mahdzir tentang tindakan jangka pendek secara komprehensif oleh Kementerian Pengangkutan bagi merancakkan kembali industri penerbangan pada tahun hadapan, Hasbi memberitahu syarikat penerbangan dijangka memerlukan tempoh masa tiga tahun untuk pulih sepenuhnya dari impak wabak COVID-19, tertakluk kepada situasi semasa penularan wabak tersebut di dalam dan luar negara.

MAHDZIR KHALID
MAHDZIR KHALID

Namun, tambah beliau, Kementerian Pengangkutan telah mengemukakan syor kepada Majlis Penasihat Ekonomi yang turut memberi cadangan agar tiada pengecualian had bilangan bagi pekerja sektor penerbangan yang melibatkan 35,473 orang bagi menerima Program Subsidi Upah (PSU.

“Setakat ini, PSU hanya menerima 200 pekerja bagi setiap syarikat. Kedua, bantuan meringankan aliran tunai syarikat penerbangan seperti penangguhan pembayaran bayaran dan caj penerbangan seperti pembayaran landing parking melalui mekanisme kontra.

“Insentif kewangan bagi tujuan promosi dan pemberian ribet utiliti kepada syarikat penerbangan dan operator lapangan terbang dan juga memperuntukkan geran sempadan promosi insentif penerbangan bagi menggalakan syarikat penerbangan semula ke Malaysia iaitu pembahagian peruntukan secara 50:50 di antara kerajaan dan Malaysia Airports Holding Berhad sehingga 2022.

“Dan yang terakhir adalah pengurangan sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh majikan kepada 13 peratus kepada 10 peratus bagi semua syarikat penerbangan. Ini adalah syor Kementerian Pengangkutan kepada Majlis Penasihat Ekonomi,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.