Dakwaan Tun M-Ku Li tidak berasas

208

15 DIS: Kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa kononnya ahli-ahli politik dalam jemaah Kabinet ketika ini hanya mencari kekayaan dan bukan untuk memajukan negara adalah tidak berasas sama sekali. 

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, apa yang dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN)ketika ini adalah demi rakyat, tiada masa untuk memikirkan untuk menambah kekayaan diri sendiri atau kroni seperti yang didakwa dua veteran politik tersebut.

“Kerajaan ini sedang membangunkan negara melalui pembinaan sahsiah, menentang virus maut yang tidak nampak, memperluas sektor industri kecil sederhana dalam aliran ekonomi negara dan mengurangkan peratus pengangguran, bukan membina bangunan pencakar langit atau sebagainya.

“Kita berusaha siang malam agar rakyat tidak terkorban akibat pandemik ini dan poket terus terisi untuk saraan harian mereka,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.

Abdul Rahman yang juga merupakan Ahli Parlimen Lipis juga menjelaskan, apa yang disebut kedua-dua pemimpin itu hanyalah semata-mata untuk memberikan gambaran negatif kepada pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH). 

“Bagi saya, kerajaan hari ini adalah lebih baik berbanding kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sibuk mencari salah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum itu sehingga terlupa untuk menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan negara.

“Saya penuh yakin dan percaya, sekiranya pandemik Covid-19 ini tidak berlaku, kerajaan PN hasil kerjasama BN, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mampu bekerja jauh lebih hebat. 

“Saya memandang mereka seperti abang yang sedang menasihati adik. Namun, berilah kepercayaan dan nyatakanlah sokongan jika mahu melihat kita semua berjaya dalam perjuangan menaikkan semula nama Malaysia, dan membantu rakyat yang dalam kesusahan,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.