Agong ucap takziah kepada keluarga Prof Diraja Ungku Aziz

189

15 DIS : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menyifatkan pemergian Allahyarham Prof Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid yang meninggal dunia kerana sakit tua petang tadi merupakan satu kehilangan besar buat negara.

Melalui kenyataan dimuat naik melalui Facebook rasmi Istana Negara, hari ini, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham.

Malah, baginda berdua turut merakamkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap seluruh keluarga sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana pilu ini, selain mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

Allahyarham Ungku Aziz dilahirkan pada 1922 di London, England dan mendapat pendidikan menengah di English College, Johor Bahru, seterusnya memperoleh Diploma in Arts daripada Raffles College, Singapore pada 1947, diikuti Bachelor of Arts (Honours) in Economics dari Univerisity of Malaya, Singapore pada 1951.

Pada 1964, Allahyarham memperoleh ijazah Doctor of Economics dari Waseda University di Tokyo.

Allahyarham memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam dengan kerajaan Johor. Pada 1952, beliau mengorak langkah ke alam akademik apabila diterima sebagai pensyarah dalam bidang Ekonomi di Universiti Malaya.

Beliau dilantik sebagai Profesor dan Ketua Jabatan Ekonomi selama lima tahun mulai 1961 sebelum memegang jawatan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran pada tahun 1965 hingga 1968.

Prof Diraja Ungku Abdul Aziz menempa sejarah apabila dilantik sebagai Naib Canselor, Universiti Malaya selama 20 tahun dari 1968 hingga 1988.

Dalam tempoh itu, beliau turut memegang jawatan Presiden ANGKASA, jawatan yang dipegangnya hingga kini dan berkhidmat sebagai penasihat atau ahli jawatankuasa penasihat kepada beberapa institusi tempatan dan antarabangsa.

Sumbangan beliau pada negara bukan saja dalam bidang Akademik, tetapi juga membawa idea penubuhan Tabung Haji dan menjadi Pengarah Pengasas bagi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Beliau sepanjang 1971 hingga 2005, sudah dianugerahkan berbilang ijazah kehormat daripada institusi tempatan dan antarabangsa.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.