Tentukan portfolio selepas 10 Exco Perak dilantik

305

14 DIS: Portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak akan ditetapkan selepas lengkap pelantikan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menyandang jawatan tersebut.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, lima Exco yang baru dilantik tidak mampu melaksanakan agihan tugas sekiranya portfolio mereka ditetapkan.

“Kita hanya akan buat (penetapan portfolio) apabila telah penuh senarai 10 Exco kerana berdasarkan pengalaman pada 2009 jika senarai belum penuh (Exco memangku portfolio lain) kita akan tempang,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, hari ini.

Khamis lalu, lima ADUN mengangkat sumpah jawatan sebagai Exco di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah.

Empat daripada lima ADUN Barisan Nasional (BN) yang mengangkat sumpah merupakan Exco di bawah pentadbiran sebelum ini iaitu Datuk Zolkafly Harun (Lintang), Datuk Shahrul Zaman Yahya (Rungkup), Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (Kampung Gajah) dan Khairul Shahril Mohamed (Bota).

Turut dilantik, ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan beliau merupakan muka baharu.

Barisan Exco Perak terbubar selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan sebagai Menteri Besar pada 5 Disember lalu selepas undian usul percaya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada sehari sebelumnya tidak memihak kepada beliau.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.