Speaker tak ubah SOP, ikut nasihat KP Kesihatan

214

14 DIS: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menjelaskan bahawa beliau tidak pernah mengubah prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan terhadap Ahli-ahli Parlimen yang menghadiri persidangan.

Beliau berkata demikian selepas Ahli Parlimen PH Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen membangkitkan tentang tiga Ahli Parlimen yang dibenarkan datang ke Parlimen untuk mengikuti sidang hari ini.

Azhar memberitahu, pihaknya perlu meminta kebenaran daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah terlebih dahulu.

“Kalau dibenarkan, mereka perlu mengikut SOP ditetapkan beliau, bukan daripada saya,” katanya selepas sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini berakhir.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu, tiga Ahli Parlimen terbabit iaitu Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara), Datuk Seri M Subramaniam (Tapah) dan P Prabakaran (Batu) dibenarkan hadir ke Parlimen dengan syarat mereka diwajibkan mematuhi SOP yang ketat termasuk memakai peralatan perlindungan diri (PPE).

Ketiga-tiga Ahli Parlimen terbabit dikenakan perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) setelah didapati menjadi kontak rapat beberapa individu yang positif COVID-19.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, semua Ahli Parlimen berkenaan dibawa menaiki ambulans dan apabila tiba di Parlimen, mereka akan ditempatkan di dalam bilik khas.

“Saya difahamkan pagi ini terdapat tiga orang meminta kebenaran datang. Kalau mereka ingin mengundi perlu memakai PPE dan masuk melalui pintu Galeri Awam Dewan Rakyat.

“Undi akan diambil daripada mereka dan penghitung serta pemerhati terpaksa memakai pelindung muka,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.