PKPD Asrama Top Glove isytihar tamat hari ini

49

14 DIS: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja Top Glove, Klang yang bermula pada 17 November lalu diisytiharkan tamat hari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setelah 28 hari PKPD dilaksanakan, Kementerian Kesihatan mendapati trend penurunan kes positif dan tiada lagi sampel yang menunggu keputusan.

Menurut beliau, semua kes negatif telah menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah selama dua kali tempoh inkubasi COVID-19.

Ismail Sabri Yaakob
ISMAIL SABRI YAAKOB

“Sehingga kini, daripada 28 kilang yang ditutup, 14 kilang telah dibenarkan beroperasi semula selepas semua pekerja disaring dan kilang disanitasi, manakala baki 14 kilang lagi akan dibuka secara berperingkat.

“Pihak pengurusan Top Glove juga diarahkan untuk mematuhi arahan berkaitan pengurusan COVID-19 dalam kalangan pekerja selepas penamatan PKPD,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Ismail Sabri turut mengumumkan penamatan PKPD Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sibuga, Sandakan seperti yang dijadualkan esok.

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu, PKPD di Kampung Desa Bajau dan Kampung Dasar Baru, Lahad Datu yang sepatutnya berakhir esok dilanjutkan lagi sehingga 29 Disember.

Berhubung tindakan penguatkuasaan, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 360 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Daripada jumlah itu, seramai 340 individu dikompaun manakala 20 orang lagi direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (186), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (100), tidak memakai pelitup muka (47), aktiviti pusat hiburan (10) dan lain-lain (17),” jelasnya.

Beliau menambah, pasukan keselamatan berjaya menahan seramai 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas lima kenderaan darat dan sebuah bot dalam Op Benteng semalam. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.