Pengeluaran, eksport getah asli Malaysia meningkat

103

14 DIS: Pengeluaran getah asli Malaysia mencatatkan peningkatan 5.4 peratus bulan lalu iaitu sebanyak 48,663 tan metrik berbanding 46,187 tan metrik pada Oktober.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, ia mencatatkan peningkatan pengeluaran sebanyak 0.3 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu.

“Eksport getah asli Malaysia berjumlah 54,492 tan metrik pada Oktober lalu, meningkat sebanyak 11.8 peratus berbanding 48,720 tan metrik pada September 2020.

“China terus kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli iaitu 57.0 peratus daripada jumlah eksport pada Oktober 2020 diikuti Jerman (11.7 peratus), Finland (3.7 peratus), Iran (3.3 peratus) dan Brazil (2.8 peratus),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, sarung tangan getah merupakan item eksport utama dengan nilai eksport RM3.8 billion pada September 2020 kepada RM4.4 billion pada Oktober 2020, meningkat sebanyak 14.6 peratus, dengan Amerika Syarikat, Jerman dan United Kingdom terus kekal sebagai antara negara tertinggi eksport produk sarung tangan getah.

Stok getah asli meningkat pada Oktober 2020 iaitu sebanyak 256,724 tan metrik berbanding 255,089 tan metrik pada September 2020 dengan peningkatan 0.6 peratus.

“Harga purata Getah Mutu Malaysia 20 mencatatkan harga tertinggi pada Oktober 2020 dengan peningkatan kepada 621.76 sen sekilogram berbanding 558.50 sen sekilogram pada September 2020.

“Trend yang sama turut ditunjukkan bagi harga purata lateks pekat, meningkat kepada 576.14 sen sekilogram pada Oktober 2020 bagi tempoh yang sama berbanding 484.57 sen sekilogram pada September 2020,” jelasnya.

Jabatan Perangkaan turut melaporkan, penggunaan getah asli di peringkat domestik pada Oktober 2020 ialah 48,518 tan metrik, meningkat sebanyak 6.3 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Pembuatan sarung tangan getah terus mendominasi industri pembuatan getah asli dengan penggunaan sebanyak 36,901 tan metrik atau 76.1 peratus daripada jumlah keseluruhan penggunaan domestik.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.