Menteri ulangi peristiwa Lahad Datu bukan sandiwara

332

14 DIS: Insiden serangan kumpulan pengganas dari Sulu di Lahad Datu pada 2013 bukan sandiwara seperti yang didakwa oleh pihak tertentu sekali gus memerlukan kawalan keselamatan yang lebih ketat bagi mengelakannya daripada berulang.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memandang serius terhadap ancaman tersebut dan telah meluluskan pembinaan sebuah kem tentera di Lahad Datu bagi mengekang pencerobohan kumpulan pengganas dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Menurut beliau, situasi COVID-19 menimbulkan keperluan mendesak untuk menyegerakan pembinaan kem tersebut bagi mengekang kemasukan PATI yang mungkin dijangkiti virus berkenaan.

Ismail Sabri menambah, pihaknya telah pun meluluskan projek pembinaan kem tentera di Lahad Datu bagi memperkasakan kedudukan Malaysia dalam mengawal sempadan tersebut daripada dicerobohi dan turut mendedahkan perancangan ini telah dimulakan sewaktu Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan namun telah dibatalkan oleh PH.

“Dari segi status mula-mula telah dirunding terus sewaktu BN dulu kemudian PH memerintah PH membuat dasar bahawa tidak ada runding terus, mengikut dasarlah tapi banyak juga buat runding terus. Jadi, projek itu telah ditender dan baru-baru ini beberapa bulan lepas jawatankuasa tender telah meluluskan kepada satu syarikat untuk meneruskan projek itu secara tender terbuka.

“Tetapi bila hantar ke Kementerian Kewangan, tidak bersetuju dengan cadangan Kementerian Pertahanan untuk tender tersebut dan kalau pulang balik kepada Kementerian Pertahanan kita adakan semula tender terbuka. Jadi, mungkin dengan sokongan Ahli-Ahli Yang Berhormat, kementerian boleh lihat semula supaya mempercepatkan projek ini agar boleh dilaksanakan segera,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen BN Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam perbahasannya membangkitkan mengenai fokus kementerian dalam meningkatkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) untuk melindungi keselamatan rakyat.

Sementara itu, menjawab persoalan Ahmad tentang pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dimansuhkan oleh pentadbiran terdahulu di bawah Pakatan Harapan (PH), Ismail Sabri berkata, kerajaan akan menggunakan modul dan pendekatan berbeza.

Beliau memberitahu, Kementerian Pertahanan juga sedang menyediakan kertas Kabinet berhubung cadangan tersebut.

“Kita akan mendapatkan keputusan daripada kabinet untuk mewujudkan satu jawatankuasa khusus untuk melihat keperluan dan perkara-perkara baharu yang mungkin kita akan adakan di dalam PLKN menerusi modul baharu ini,” jelasnya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.