Kes dera kanak-kanak berkurangan tahun ini

278

14 DIS: Insiden penderaan kanak-kanak di negara ini mencatatkan penurunan apabila 3,875 kes keganasan rumah tangga dilaporkan sehingga September 2020 berbanding 6,061 kes pada 2019.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, daripada jumlah itu, 1,120 kes melibatkan penderaan fizikal, 1,373 mengalami penderaan seksual manakala 131 kes melibatkan penderaan dan kes pengabaian pula melibatkan 1,251.

Menurut beliau, pelbagai program dilaksanakan oleh pihak kementerian bagi menangani kes penderaan di negara ini namun kerjasama pelbagai agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti amat diperlukan yang merupakan teras utama dalam penyampaian perkhidmatan yang berkesan.

siti zailah
SITI ZAILAH MOHD YUSOFF

“Di antara program yang dilaksanakan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang pertama mengadakan sistem semakan pesalah jenayah seksual dalam daftar kanak-kanak. Kedua ialah senarai semak panduan infografik bagi pemilihan pengasuh dan yang ketiga program keselamatan kanak-kanak dan juga keempat program pendidikan keselamatan keluarga.

“Kita juga memperluaskan talian eKasih 15999 dan talian WhatsApp 019-2615999 bagi perkhidmatan sokongan kaunseling dan pertanyaan serta aduan yang melibatkan isu-isu penderaan dan sebagainya dan juga pelantikan pembantu pelindung untuk melindungi kes-kes yang melibatkan penderaan kanak-kanak,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Siti Zailah menjawab soalan Ahli Parlimen PASJerai, Sabri Azit tentang statistik penderaan kanak-kanak yang berlaku hingga akhir tahun ini dan langkah-langkah yang telah diambil bagi mengelakkan berlakunya isu penderaan kanak-kanak di Malaysia.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Sabri tentang sejauhmana kempen kesedaran dilaksanakan kementerian mengenai Akta Kanak-Kanak 2001 dan permasalahan utama penderaan yang makin menjadi ketika ini, Siti Zailah menyatakan penderaan kanak-kanak merupakan perkara yang dipandang serius oleh pihak kementerian.

Beliau berkata, hasil kajian mendapati punca utama yang menjadi kes penderaan semakin parah di kalangan komuniti disebabkan masalah kewangan serta ibu bapa terlibat dengan penagihan dadah di samping pendera itu sendiri mengalami masalah mental.

“Selain talian e kasih kita juga adakan program keselamatan kanak-kanak untuk memberi kesedaran undang-undang yang melibatkan pelajar sekolah, guru-guru, penjaga dan masyarakat.

“Setakat ini sehingga 20 Mac 2020, program ini telah melibatkan 96797 kanak-kanak melibatkan 414 sekolah. Di samping itu, program pendidikan keselamatan keluarga dilaksanakan bagi memberi kesedaran khusus kepada masyarakat berkaitan dengan keselamatan siber dan sebagainya selain menguatkuasa undang-undang,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.