JIPS siasat 29 anggota termasuk pegawai berpangkat DCP

181

14 DIS: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman, sedang menyiasat 29 anggota dan pegawai polis termasuk seorang pegawai kanannya berpangkat Deputi Komisioner (DCP) yang dipercayai terbabit dengan sindiket judi dalam talian didalangi Addy Kanna.

Pengarahnya, Datuk Zamri Yahya berkata, jumlah itu termasuk seorang pegawai berpangkat inspektor yang dipercayai memiliki wang simpanan dalam akaun berjumlah RM1 juta.

“Kita akan buat susulan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat pembabitan dengan sindiket ini, berkaitan isu aset dia, pergerakan dia dan sebagainya.

“Setakat ini, 29 nama yang disiasat dan akan diserahkan kertas siasatan kepada pihak atasan untuk rujukan hukuman, kita berharap Januari boleh diselesaikan.

“Berhubung inspektor polis yang memiliki simpanan RM1 juta, kita akan minta penjelasan lanjut dan siasat secara mendalam dari mana wang itu diperoleh sebab dia ada beritahu itu pemberian bapanya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin kepada pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed di Dewan Utama, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di Shah Alam hari ini.

Mengulas lanjut, Zamri berkata, JIPS akan menjalankan siasatan dari segi disiplin, perkhidmatan pegawai dan anggota polis dengan sindiket ini, gaya hidup, pemilikan harta luar biasa, percutian ke luar negara tanpa kebenaran serta pergerakan mereka.

“JIPS akan mendalami siasatan dari pelbagai sudut termasuk ada harta berlebihan yang tidak setara dengan jawatan mereka, kita akan semak dan minta penjelasan.

“Siasatan ini dijalankan mengikut Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya.

Secara keseluruhan menurut beliau, kira-kira 3,000 aduan membabitkan pegawai dan anggota polis diterima setahun.

“Kertas siasatan dibuka kira-kira 300 kes atau 10 peratus dari keseluruhan yang diterima, aduan paling tinggi membabitkan salah laku, diikuti tidak hadir bertugas, hubungan intim di luar perkahwinan yang tidak dibenarkan serta isu yang menyebabkan prestasi terjejas,” katanya.

Tambahnya, pada tahun ini JIPS mengecilkan kes itu daripada 1,000 kes aduan salah laku, dengan menyasarkan 200 hingga 300 kes untuk diselesaikan tahun ini.

“Ada yang sampai dibuang kerja dan ramai yang ditamatkan perkhidmatan akibat salah laku atau salah guna dadah. Tiada kompromi lagi, itu kesalahan serius,” tegasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.