Isu kerakyatan: Tempoh setahun beri dokumen lengkap

168

14 DIS: Kerajaan akan memberi tempoh setahun kepada individu yang menghadapi masalah kewarganegaraan untuk tampil mengemukakan dokumen lengkap.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan komited untuk menyelesaikan isu taraf kewarganegaraan dalam kalangan rakyat Malaysia secara tuntas.

Menurut beliau, penyelesaian isu kewarganegaraan perlu dipermudahkan dan tiada kaitan dengan politik serta sentimen perkauman.

“Kita merdeka sejak 1957, tapi yang datang kepada saya, belum jadi warganegara. Umur sudah 63 tahun, justeru saya akan bagi satu tempoh, dalam setahun mesti mendaftar.

“Gunakan bukti, dokumen yang anggap sebagai sah warganegara kerana perkara ini kalau berlanjutan, boleh sebabkan masalah pada masa depan.

“Kita selesaikan isu ini, dengan mempermudahkan, pastikan warganegara, tetap jadi warganegara, yang bukan warganegara, tetap bukan warganegara, ” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Belanjawan KDN melibatkan peruntukan RM13,693,895,800 diluluskan setelah undian suara mendapati lebih ramai Ahli Parlimen yang bersetuju.

Menjawab persoalan dibangkitkan oleh Ahli Parlimen PH Jelutong, RSN Rayer, mengenai perkembangan siasatan kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang sudah berlarutan lebih setahun, Hamzah menegaskan, beliau difahamkan kertas siasatan kini di peringkat akhir sebelum diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Beberapa orang sudah ditangkap dan akan kita bawa ke Mahkamah untuk menentukan kesalahan mereka. Saya tidak tahu berapa lama tetapi difahamkan siasatan kes kematian Mohd Adib Kassim kini sudah memasuki peringkat akhir dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan seterusnya,” katanya.

Terdahulu, Hamzah berkata, KDN akan menggunakan semua teknologi tercanggih yang ada dunia bagi memastikan tahap keselamatan sempadan negara sentiasa dalam keadaan selamat.

Hamzah berkata kerajaan juga sedang merangka modul latihan baharu yang akan diberikan kepada anggota keselamatan bertugas menjaga sempadan negara pada masa depan.

“Latihan yang akan diberikan kepada anggota pihak berkuasa berkenaan juga adalah lebih terperinci dengan menggunakan sistem digital dan kepintaran buatan (AI) bagi memastikan anggota keselamatan menjaga sempadan menjadi lebih canggih,” katanya.

Beliau juga mengesahkan sehingga kini kerajaan Malaysia belum menerima sebarang maklumat rasmi dari pihak berkuasa India berhubung pembabitkan pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik, yang dikatakan terbabit dalam rancangan serangan pengganas di republik terbabit.

“Kalau sesuatu berita keluar sesuatu maka Polis Diraja Malaysia (PDRM) memang bekerjasama dengan agensi penguat kuasa semua negara di dunia. Kalau ada sesuatu diperlukan mereka kita akan lakukan secara rasmi.

“Buat masa ini Malaysia belum menerima apa-apa laporan rasmi dari India selepas menerima laporan berkenaan kita akan pastikan ambil tindakan sewajarnya,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.