ERC: 49 syor tambah baik pilihan raya diteliti

48

14 DIS: Kerajaan sedang meneliti satu persatu daripada 49 syor penambahbaikan berkaitan perihal sistem, proses dan undang-undang berkaitan pelaksanaan pilihan raya di Malaysia yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) kepada Perdana Menteri, pada 27 Ogos lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ERC menyerahkan syor berkenaan selepas mengambil masa selama lebih kurang dua tahun untuk menyiapkan kajiannya pada Ogos lalu.

Takiyuddin berkata, kerajaan perlu meneliti satu per satu syor yang dikemukakan untuk membuat penilaian terhadap kebolehupayaan dan keutamaan pelaksanaannya.

takiyuddin hassan
TAKIYUDDIN HASSAN

“Kerajaan memerlukan masa untuk membuat penelitian kerana perlu mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada pelbagai agensi khususnya badan berkepentingan utama seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Justeru, ERC telah menyenaraikan pelan tindakan secara berfasa. Antaranya ialah mencadangkan agar diwujudkan sebuah badan penyelaras dan pemantauan tindakan untuk menyelaras dan memantau tindakan oleh pelbagai agensi kerajaan terhadap setiap syor dikemukakan, sebelum ini,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PH Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, yang meminta Perdana Menteri menyatakan adakah kementerian akan menerbitkan laporan akhir ERC kepada ahli Parlimen dan secara awam (nyatakan sebab-sebab jika tidak).

Poay Tiong juga mahu tahun apakah tindakan kementerian seterusnya untuk mereformasikan dan menambah baik sistem dan proses pilihan raya di Malaysia, termasuk garis masa.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata kerajaan amat komited dalam memastikan pembangunan demokrasi adalah seiring dengan peredaran zaman dan keperluan rakyat di negara ini.

Beliau berkata laporan yang dikemukakan oleh ERC melibatkan bukan sahaja aspek perubahan kepada proses pilihan raya, namun juga perubahan dalam pelbagai aspek pengurusan kerajaan yang turut melibatkan penglibatan pelbagai Kementerian dan agensi.

“Dalam hal ini, Kerajaan amat berhati-hati dan bersikap realistik dalam melaksanakan perubahan dan penambahbaikan untuk kebaikan rakyat.

“Kerajaan perlu memastikan bahawa setiap perubahan yang dilaksanakan akan benar-benar dapat memberikan nilai tambah kepada kehidupan rakyat di negara ini,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.