Polis tahan 655 individu ingkar arahan PKP

51

13 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 655 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 587 individu telah dikompaun manakala 67 individu pula direman dan seorang dijamin.


“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan (292), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (179), tidak memakai pelitup muka (99), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (75) dan lain-lain (10),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Berhubung Op Benteng semalam, beliau berkata, pasukan keselamatan berjaya menahan seramai 104 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua tekong.

Ismail Sabri menambah, turut dirampas adalah sebuah bot dan enam kenderaan darat.

Sementara itu, beliau memaklumkan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Numbak dan Penempatan Telipok di Kota Kinabalu yang bermula pada 16 November lalu berakhir mengikut jadual hari ini.

Ismabil Sabri turut mengumumkan penamatan PKPD di Zon A, Taman Klebang Jaya dan Taman Pinji Mewah seperti yang dijadualkan esok.

“Kecuali bagi Asrama Pekerja Kilang Yamaha yang akan diteruskan dengan pelaksanaan PKPD selama tujuh hari lagi bermula 15 sehingga 21 Disember 2020,” jelasnya.

Selain itu, beliau berkata, pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB) di seluruh daerah Kinta turut ditamatkan pada 14 Disember 2020 kecuali di kawasan Ipoh dan Chemor di Mukim Hulu Kinta yang akan diteruskan pelaksanaannya sehingga 20 Disember ini. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.