Nilai jualan PST FAMA RM409 juta sejak Mac

58

13 DIS: Pasar Segar Terkawal (PST) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mencatatkan nilai jualan RM409.16 juta sejak ia mula beroperasi Mac lalu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, nilai jualan itu direkodkan setakat bulan lalu dengan melibatkan 48 PST di seluruh negara termasuk lima di Johor.

Menurut beliau, PST diwujudkan bagi memastikan kelangsungan bekalan dan kecekapan dalam pengedaran makanan negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang harganya 10 peratus lebih murah berbanding di tempat lain.

“Dalam norma baharu ini juga, jualan menerusi Agrobazaar Online mendapat sambutan dengan mencatatkan nilai RM2.19 juta dari Mac sehingga November.

“Perubahan trend pembelian dalam kalangan pengguna di negara kita sudah berubah dan pengguna lebih menyukai memberi secara dalam talian…kerana ia lebih mudah, harga berpatutan dan terus sampai kepada pengguna,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Tani Kekal Permas Jaya di Johor Bahru, hari ini.

Ahmad menambah, PST membekalkan komoditi asas seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ayam segar, ikan segar, daging segar, barangan runcit serta produk industri kecil dan sederhana (IKS).

Beliau memberitahu, di Johor sahaja, terdapat lima PST dengan melibatkan 273 usahawan yang mencatatkan nilai jualan sebanyak RM26 juta bagi tempoh sama, manakala nilai jualan melalui Agrobazaar Online bagi negeri ini pula sebanyak RM242,000.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.