MP dituduh sokong Anwar, buat laporan jika fitnah

288

13 DIS: Barisan pemimpin UMNO yang namanya dikaitkan menyokong komplot Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui akuan bersumpah (SD) harus tampil membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), jika dakwaan tersebut merupakan satu fitnah.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, jika benar sekali pun pemimpin berkenaan perlu jujur kepada rakyat kerana ia akan memberi kesan buruk kepada parti jika perkara ini tidak dilakukan.

Menurut beliau, tindakan menyokong Ahli Parlimen Port Dickson itu bukanlah keputusan parti sama ada Majlis Tertinggi mahupun daripada Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN) dan tidak ada sebarang pun perbincangan untuk menandatangani SD berkenaan.

“Nasihat saya buatlah laporan polis dan SKMM dan biarlah pihak berkuasa yang menyiasat jika ia adalah fitnah. Berterus-teranglah juga jika ia sesuatu yang benar kerana jika tidak ia banyak memberikan kesan buruk kepada parti.

“Saya masih mengharapkan ia adalah tidak benar. Batang tubuh yang disebut itulah yang mengetahui apa yang berlaku dan patut berterus terang,”katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan penulis blog di Kampung Tapang, hari ini.

Annuar mengulas tentang dakwaan yang menyatakan terdapat individu dalam kalangan Ahli Parlimen UMNO memberi sokongan kepada Anwar untuk membentuk kerajaan baharu.

Setakat ini, Timbalan Menteri Kewangan II merangkap Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah telah menafikan dakwaan tidak berasas tersebut.

Dalam pada itu, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan menegaskan, keputusan parti adalah jelas sehingga saat ini yang tetap tidak berganjak dengan keputusan ‘Tolak Anwar, Tolak DAP’.

“Saya menasihatkan ahli parti agar mengikut keputusan parti dengan tidak mendahului keputusan peribadi.

“Sebagai ahli parti kita kena ikutlah dasar parti kerana ia adalah suara ramai,” katanya.

Sementara itu mengenai dakwaan terdapat konspirasi pihak tertentu mengubah pendirian parti mengenai dasar ‘Tiada Anwar Tiada DAP’ itu, Ahli Parlimen Ketereh tersebut memberitahu, tindakan seperti itu sentiasa ada memandangkan perbezaan kerusi pihak pembangkang dan kerajaan yang tipis.

Beliau menasihatkan ketika ini bukanlah masa yang sesuai untuk merebut pelbagai jawatan sewaktu rakyat sedang mengalami kesusahan ketika pandemik COVID-19.

“Sepatutnya kita bersatu padu untuk menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.